Pilihan di tangan penyokong UMNO - Utusan Malaysia

Pilihan di tangan penyokong UMNO

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

UMNO sememangnya dikenali sebagai musuh tradisi PKR sejak parti serpihan yang pada mulanya dinamakan Parti Keadilan Nasional ditubuhkan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 1999.

Mengikut kelaziman sebelum ini, apabila PKR meletakkan calon Melayu dalam mana-mana pilihan raya, Barisan Nasional (BN) memberi cabaran dengan mempertaruhkan calon dari UMNO dan begitu juga sebaliknya.

Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson pula menyaksikan senario berbeza kerana tiada calon dari UMNO yang akan menentang Anwar setelah BN membuat keputusan memboikotnya.

Memuatkan artikel berkaitan…

Walaupun UMNO tidak terlibat secara langsung, parti politik terbesar orang Melayu itu tidak harus dipandang sepi kerana ia masih boleh memainkan peranan di belakang tabir.

Berdasarkan statistik pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), lebih 42 peratus daripada kira-kira 75,000 pengundi di kawasan Parlimen Port Dickson adalah orang Melayu.

UMNO Bahagian Port Dickson yang dianggarkan mempunyai kira-kira 13,000 ahli mempunyai peranan yang signifikan dalam menentukan Ahli Parlimen mereka yang baharu.

Dua kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Bagan Pinang dan Linggi kekal dikuasai UMNO selepas PRU-14 sekali gus menimbulkan cabaran getir kepada mana-mana calon yang bertanding untuk menarik sokongan orang Melayu di pusat daerah mengundi (PDM) terbabit.

Memandangkan BN tidak bertanding, ahli-ahli UMNO yang layak mengundi mempunyai pilihan yang lebih terbuka dalam menentukan sama ada keputusan PRK Parlimen Port Dickson akan memihak kepada Anwar atau mana-mana calon lain pada 13 Oktober ini.

Keputusan bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad untuk bertanding sebagai calon Bebas mungkin mempengaruhi pola pengundian dalam kalangan penyokong UMNO.

Keris kini di tangan mereka, terpulanglah kepada mereka untuk menghunus ke kiri, kanan atau tengah.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini