KUALA LUMPUR 29 Sept. – Semangat perjuangan demi sebuah parti keramat UMNO tidak pernah luntur dalam diri seorang ibu meskipun terpaksa membawa anak sulungnya yang baharu berusia dua bulan.
Naib Ketua Puteri Bahagian Taiping, Rasidah Katat, 29, berkata, bayi sulung yang diberi nama Mohd. Hafiz Irfan Mohd. Hilme itu sentiasa dibawa kemana-mana sejak daripada dalam kandungan sehinggalah ke Persidangan Agung UMNO 2018 ini.
“Saya datang bersama anak dan kawan-kawan perwakilan dari Taiping dan bertolak sejak pukul 12 tengahari semalam.
“Alhamdulillah, kehadiran saya dalam persidangan UMNO ini sudah masuk kali ke-4 dan sokongan suami sentiasa mengiringi perjuangan saya,” katanya ketika ditemui pada Perhimpunan Agung Tahunan Pergerakan Puteri UMNO 2018 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini hari ini.
Perhimpunan Agung UMNO 2018 berlangsung selama tiga hari bermula semalam sehingga esok.
Ditanya sejauh mana kemampuan UMNO mencipta perubahan dalam persidangan kali ini, Rasidah memberitahu, beliau tetap yakin dengan parti keramat ini sejak hari pertama persidangan berlangsung.
“Mulanya tertanya-tanya, ramai atau tidak yang datang persidangan kali ni, rupanya semalam sahaja dah cukup ramai malah penuh dewan.
“Saya tetap yakin UMNO akan kembali memerintah kerana pembangkang sebelum ini pun tak pernah berhenti berjuang, jadi kenapa kita (UMNO) nak mengalah?,” tambahnya. – UTUSAN ONLINE











