PUTRAJAYA 27 Sept.- Seorang penjawat awam wanita berdepan detik cemas apabila disamun sebelum kereta jenis Nissan Almera miliknya dilarikan seorang lelaki yang bersenjatakan pisau.
Dalam kejadian pada pukul 8.40 malam tadi di Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia (PPA1M) Larai Presint 6 itu, Nur Layali Mohd. Ali baharu pulang dari tempat kerjanya di Jabatan Perangkaan.
Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner Rosly Hassan berkata, ketika kejadian, Nur Layali didatangi oleh seorang lelaki yang meluru ke arahnya sambil mengacukan pisau.
“Lelaki itu telah menarik beg tangan mangsa dan melarikan diri dengan menggunakan lif dari aras 3A. Mangsa cuba mengejar lelaki itu melalui tangga sambil menjerit meminta tolong namun gagal.
“Mangsa telah pulang ke rumah dan memaklumkan kejadian itu kepada suami sebelum suaminya itu melihat kereta milik mangsa telah dilarikan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini. – UTUSAN ONLINE











