JOHOR BAHRU 28 Sept. – Pembubaran Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Negeri Sembilan tidak akan menjejaskan kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Port Dickson dan Pakatan Harapan (PH) dalam tempoh dua minggu akan datang.
Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, apa yang berlaku hanya membabitkan masalah organisasi dan struktur parti.
“Di peringkat jentera, pimpinan dan anggota parti Bersatu, mereka beri sokongan kuat kepada Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang mewakili PH.
“Jadi saya fikir masalah struktur dan organisasi yang berlaku itu akan diselesaikan secara baik bagi memperkukuh parti berkenaan” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menghadiri program Pidato PKR Johor di Hotel M-Suites, di sini sebentar tadi.
Yang turut hadir, Naib Presiden PKR, Tian Chua dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Tua, Amirudin Shari yang juga Menteri Besar Selangor.
Mohamed Azmin yang juga Menteri Hal Ehwal Ekonomi juga memberitahu, pihaknya tidak akan mengambil mudah PRK Port Dickson dan akan mendekati seramai mungkin pengundi dalam tempoh dua minggu menjelang hari pengundian pada 13 Oktober ini.
“Kita akan kerja kuat dan membincangkan strategi untuk mendekati pengundi yang berlainan latar belakang kaum dan agama.
“Saya yakin Insha-Allah sokongan rakyat pengundi di Port Dickson akan kekal bersama PH,” tambahnya.
Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka menghadapi saingan enam penjuru dalam PRK Port Dickson tidak lama lagi. – UTUSAN ONLINE









