TAIPING – Seorang pelajar tingkatan lima maut manakala rakannya patah tangan kiri selepas kereta yang dinaiki mereka terbabas sebelum melanggar pembahagi jalan di Kilometer 13.6 Jalan Kuala Sepetang-Taiping berhampiran Larut Tin di sini kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira pukul 11 malam itu, Muhammad Qhairuldin Shah Yaakop, 17, yang memandu kereta jenis Nissan Fairlady milik abangnya meninggal dunia di tempat kejadian.
Difahamkan, harga kereta mewah dijual antara RM200,000 hingga RM300,000 sebuah di Malaysia dan boleh memecut pada kelajuan maksimum 250 kilometer sejam.
Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Mohamad Taib berkata, siasatan awal mendapati kenderaan yang dinaiki kedua-dua mangsa yang masing-masing dari Taiping itu dalam perjalanan ke Simpang dekat sini untuk keluar makan bersama rakan sebelum terbabas dan merempuh pembahagi jalan.










