NAMPAKNYA pertanyaan Zulkifli Jalil berkenaan siapa boleh kejar Mamat Khalid yang disiarkan pada 28 Ogos yang lalu telahpun terjawab. Syabas saya ucapkan kepada Syamsul Yusof yang mengarah filem ke-10 beliau. Filem sekuel Munafik 2 berjaya mengejar dan memintas rekod Hantu Kak Limah (HKL) untuk slot tayangan awal dan mencatatkan kutipan sebanyak RM2.05 juta berbanding RM650,000 bagi filem HKL.
Berdasarkan statistik kutipan filem 2018 oleh Finas, filem HKL arahan Mamat Khallid yang masih ditayangkan mengungguli carta dengan kutipan hampir RM30 juta. Ini diikuti filem KL Special Force arahan Syafiq Yusof yang mengutip sebanyak RM12.22 juta dan ketiga adalah filem mandarin Lee Chong Wei Rise of the Legend arahan Teng Bee dengan kutipan sebanyak RM 4.75 juta. Tidak mustahil kutipan sekuel ke-2 arahan Syamsul ini bakal mencecah lebih daripada angka RM30 juta.
Apakah kekuatan filem yang menelan belanja sebanyak RM2.8 juta yang merupakan filem ke-40 terbitan Skop Productions ini? Untuk rekod, filem ini telah ditayangkan di 147 pawagam tanah air dengan waktu tayangan selang 15 minit bagi memenuhi permintaan tinggi daripada penonton. Lebih manis lagi selain ditayangkan di Malaysia, filem ini juga ditayangkan secara serentak di Singapura dan Brunei. Suatu pencapaian yang boleh dibanggakan bagi filem tempatan dan diarahkan oleh pengarah muda tempatan.
Ini ditambah dengan waktu tayangan filem ini berlangsung semasa rakyat Malaysia sedang seronok bercuti selama tiga hari sempena sambutan Hari Kebangsaan sehingga Ahad ini. Sudah pastilah menonton wayang dijadikan acara keluarga yang paling ringkas dan mudah untuk dilakukan dalam keterbatasan waktu yang ada.
Selain daripada itu faktor siapa pelakon yang membintangi filem juga diambil kira sebagai pendorong untuk penonton beratur membeli tiket di panggung. Munafik 2 dibintangi oleh pengarahnya sendiri iaitu Syamsul. Malah ia turut dibintangi oleh Maya Karin, Datuk Fizz Fairuz, Datuk Rahim Razali, Ku Faridah, Asmawi Ani, Nasir Bilal Khan, Fauzi Nawawi dan Weni Panca. Nama-nama pelakon hebat yang kebanyakannya tidak asing bagi peminat filem di samping mempunyai jumlah peminat yang ramai. Nama-nama besar yang membintangi filem ini diakui mempunyai mutu lakonan yang tinggi dan baik dan merupakan daya tarikan kepada penonton untuk terus ke panggung bagi memberi sokongan sebagai seorang peminat.
Jika ingin diimbas sejarah, filem Munafik pada 2016 juga telah berjaya meraih kutipan keseluruhan sebanyak RM17 juta dengan kos sebanyak RM1.6 juta. Sudah pasti faktor ini merangsang ramai penonton untuk mengetahui apa kesudahan dan kelainan yang ditampilkan oleh Syamsul untuk sekuel yang satu ini. Keterujaan dan persoalan demi persoalan pasti dengan mudah membawa penonton ke panggung. Walhal penerbit filem tersebut iaitu Datuk Yusof Haslam sebenarnya tidaklah meletakkan sebarang sasaran terhadap pungutan filem terbarunya itu.
Kekuatan jalan cerita dan skrip filem selain jenama filem ini mempunyai pengikutnya sendiri juga membantu mempromosi filem ini. Penonton didapati benar-benar memberi sokongan dan sambutan yang baik terhadap filem tempatan. Didapati filem arahan Syamsul Yusof dan Mamat Khalid, kedua-duanya telah berjaya memenuhi cita rasa penonton yang tercari-cari mencari bahan tontonan. Pun begitu, Hantu Kak Limah tidak boleh dibandingkan dengan Munafik 2 kerana genre kedua-duanya berbeza. Sudah pasti pencapaian dua buah filem ini akan dapat memberikan semangat bukan sahaja kepada penerbit malah kepada pengarah lain untuk menghasilkan karya yang lebih baik dan bermutu kepada bukan sahaja rakyat Malaysia malah untuk pasaran filem luar negara.
Antara faktor lain memancing penonton ke pawagam adalah kerana ia bakal ditayangkan di tiga buah negara iaitu Thailand, Kemboja dan Vietnam. Sebanyak 50 buah pawagam telah bersetuju untuk membuat tayangan filem tersebut bermula 26 September ini. Malah dengan kejayaan ini menjadikan Munafik 2 sebagai filem pertama yang dipasarkan di luar Nusantara. Sudah pasti ramai tertanya-tanya apakah kekuatan filem ini yang berjaya menambat hati pawagam di negara-negara tersebut sedangkan umum tahu negara-negara tersebut mempunyai banyak filem genre seram yang juga dipasarkan di kebanyakan negara ASEAN.
Syamsul yang telah dinobatkan sebagai Pengarah Terbaik Festival Filem Asia Pasifik pada 2017 juga dikenali sebagai seorang pengarah yang sangat teliti dalam menghasilkan filem yang berjiwa. Filem Munafik 2 telah mengambil masa kira-kira 72 hari untuk tempoh penggambaran dan hampir setahun untuk proses suntingan. Satu proses yang agak lama untuk menyiapkan sebuah filem namun sesuatu yang berbaloi untuk dilakukan oleh seseorang pengarah filem kerana memberikan hasil dan impak yang luar biasa.
Filem pecah panggung ini juga dikatakan sehebat filem antarabangsa sehinggakan pihak pawagam terpaksa menambah tayangan sehingga 30 tayangan setiap hari. Ini juga telah memberi semangat dan inspirasi kepada pengarah ini untuk menghasilkan sambungan terhadap filem itu. Sekiranya benar ada sekuel ke-3 kepada filem ini sudah pasti akan mengheret lebih ramai peminat filem genre sebegini untuk memenuhi pawagam dalam mencari kelainan dalam filem.
Penerimaan orang ramai terutama para penonton terhadap filem Munafik 2 dan Hantu Kak Limah jelas membuktikan filem Melayu masih mendapat tempat di hati peminat filem dan mampu berdiri gagah untuk menempah sejarah tersendiri di bumi tercinta ini. Usahlah menunggu untuk membeli cakera padat cetak rompak sebaliknya hadirlah ke pawagam bagi menilai sendiri mutu hasil kerja karyawan seni seluruhnya.
Apakah gunanya filem diterbitkan tanpa sokongan rakyat tempatan. Seandainya kita menyokong filem negara asing, sokonglah juga filem tempatan. Ini akan dapat menyuntik semangat kepada karyawan filem untuk sentiasa menghasilkan karya seni yang terbaik dipertontonkan kepada peminat filem tempatan.
PENULIS ialah Pensyarah Kanan Kewangan, Fakulti Pengurusan dan Perniagaan, UiTM Kampus Pasir Gudang, Johor.










