Tanya sahaja anak muda tentang pencuci mulut Inggeris, pasti laju sahaja mereka menyebut tentang keenakan pavlova, red velvet, macaron, croissant, kuning telur masin, kek keju mangga dan sebagainya.
Sebaliknya, jika ditanya tentang pek nga, abuk-abuk, nagasari pisang, tepung kulit, roti boyan, tepung torak atau lompang, jangan terkejut jika mereka langsung tidak mengenali nama-nama kuih-muih tradisional ini, jauh sekali melihat dan merasainya.
Ekoran cita rasa golongan muda yang lebih menjurus kepada kuih-muih moden, ditambah pula semakin kurang individu yang boleh membuat makanan tradisi itu, tanpa disedari kuih-muih tradisional semakin pupus ‘hilang’ ditelan zaman.
Menyedari hakikat itu, Yayasan Hasanah yang dimiliki Khazanah Nasional Berhad bekerjasama dengan FriedChillies Media Sdn. Bhd. (FriedChillies), untuk mendokumentasi sajian generasi terdahulu itu menerusi projek Kuih Warisan Ihsan Hari Depan (KWIH).
Menurut Naib Presiden Kanan dan Ketua Unit Seni, Warisan dan Budaya, Yayasan Hasanah, Zainariah Johari, cabaran untuk mendapatkan ramuan dan bahan asli, tidak mewarisi petua atau resipi memasak, di samping proses pembuatan yang renyah dikatakan antara faktor resipi kuih-muih tempatan diancam kepupusan.
Katanya, setiap negeri di Malaysia mempunyai pelbagai jenis makanan tradisi yang mencerminkan identiti serta keunikan tersendiri, namun sesetengah makanan tersebut tidak dibuat sepanjang masa untuk tujuan pasaran.
Sebaliknya, lebih kepada juadah keluarga atau untuk tetamu yang berkunjung.
“Kebimbangan kuih-muih ini terus pupus ditelan zaman telah mendorong kami mencari inisiatif bagi mengekalkan makanan tradisional tersebut, selain meningkatkan usaha memastikan ia tidak dilupakan oleh generasi muda.
“Kami bekerjasama dengan FriedChillies, iaitu sebuah portal makanan dengan memberi dana menjalankan kajian, melaksanakan usaha pemeliharaan dan pemuliharaan, melakukan pemetaan kuih tradisional serta mendokumentasi resipi menerusi penghasilan buku.
“Projek ini bertujuan untuk mengekalkan makanan tradisional di negara ini. Usaha ini perlu dilakukan bagi memastikan identiti sajian tradisional Melayu ini tidak dilupakan oleh generasi muda,” katanya ketika ditemui di pejabat Yayasan Hasanah, Menara UEM, di Kuala Lumpur baru-baru ini.
Tambah Zainariah lagi, beberapa fasa telah dirancang untuk menjayakan projek KWIH.
Fasa pertama berjaya dilakukan dengan menghasilkan sebuah buku resipi dan video dokumentari, yang menghimpunkan 80 resipi kuih-muih daripada orang lama atau suri rumah yang masih giat membuat kuih tradisi.
Pihak FiedChillies telah melakukan penjelajahan di negeri-negeri di pantai Barat Semenanjung.
Dalam pada itu, Pengasas Bersama FriedChillies, Honey Ahmad berkata, sesetengah kuih-muih tradisi masih dijual di warung atau restoran, bahkan ada sambutan terhadap penjualannya.
Namun, hanya beberapa kuih sahaja yang popular seperti kuih seri muka, kuih talam, onde-onde dan karipap, sedangkan banyak lagi kuih lain yang boleh diketengahkan.
Katanya, ada juga penjual yang tidak berminat untuk menghasilkan sesuatu kuih kerana proses pembuatannya dianggap renyah dan ramuannya sukar ditemui.
Dia berkata, terdapat segelintir anak muda yang masih mencari kuih tradisi ini, malah tidak kisah untuk membayar mahal jika kuih yang dihidangkan benar-benar sedap.
Malangnya, apabila dibeli rasanya tidak sesedap dahulu kerana ada kemungkinan proses pembuatannya tidak lagi dilakukan mengikut aturan dan resipi asal.
Ingin mengubah senario itu, kerana kuih tradisional adalah warisan yang perlu dijaga, Honey percaya, kuih akan diminati jika dibuat dengan betul, sekali gus mendorong generasi muda menghargai dan meneruskan resipi tersebut.
“Kami sendiri telah menjejaki pakar kuih tradisional Melayu di seluruh negeri pada Ramadan tahun lalu. Kami dapati kebanyakan kuih orang dulu-dulu hanya menggunakan beberapa bahan yang ringkas seperti tepung beras, tepung pulut, daun pisang, daun pandan, santan, kelapa parut, gula Melaka dan minyak sapi.
“Jika kita sudah menguasai penggunaan bahan-bahan asas ini serta kaedah yang digunakan, secara tidak langsung kita akan mahir membuat pelbagai jenis kuih-muih tradisi yang lain,” katanya yang berjaya menemui resipi kuih yang telah pupus seperti bunga pudak, karipap kobis, kacau labu dan serak jagung.
Ujarnya, selepas menjejaki dan mempelajari kaedah membuat kuih daripada orang lama, pihaknya sedaya upaya mengekalkan kesempurnaan resipi asli dan petua kuih tersebut dengan cuba menghasilkan sendiri.
Katanya, orang dahulu tidak mempunyai sukatan yang tepat, jadi resipi yang dihasilkan itu mampu diikuti semua generasi.
Untuk sesetengah kuih, Honey dan pasukannya berusaha mengolah sendiri tanpa mengganggu rasa dan tekstur asal.
Menurutnya lagi, pihaknya turut meminta sekumpulan penguji makanan dalam kalangan mereka yang berusia memberi komen terhadap kuih yang telah dimasak.











