Sepanjang 12 tahun berkecimpung dalam industri daging, pemotong daging di sebuah pasar raya di ibu kota, Mohamad Boniyamin Yusuf, 37, sudah lali melihat penggemar daging lembu wagyu menghabiskan wang sehingga ribuan ringgit hanya untuk membeli daging tersebut.
“Pernah saya melihat seorang pembeli tempatan yang mengeluarkan wang sebanyak RM10,000 untuk membeli daging wagyu. Dia membayarnya secara tunai di pasar raya!
“Lebih lazim lagi kelibat individu yang berbelanja RM7,000 setiap bulan bagi membeli daging wagyu. Mula-mula pelik juga kerana orang sanggup menghabiskan begitu banyak wang demi satu jenis daging. Tetapi, itulah realitinya,” ceritanya ketika ditemui Kosmo! baru-baru ini sekali gus menggambarkan betapa wagyu mempunyai penggemarnya di negara ini sehingga mereka sanggup berbelanja besar demi daging lembu paling lembut di pasaran itu.
Wagyu merupakan gabungan perkataan bahasa Jepun, wa dan gyu yang bermaksud lembu Jepun sekali gus memberi gambaran tempat asalnya. Portal berita Huffington Post, Britain bahkan menggelarnya sebagai potongan daging paling mahal di dunia.
“Saya lihat tahun ke tahun pembelian daging wagyu semakin meningkat. Ia mungkin kerana semakin ramai penggemar stik dan pertambahan golongan berpendapatan tinggi di negara ini. Kebanyakan peminatnya ialah masyarakat Melayu dan warga asing seperti mat saleh dan Jepun,” ujarnya seraya menunjukkan satu blok daging wagyu Jepun bahagian ribloin seberat 2.2 kilogram yang berharga RM1,878.
Menurutnya daging wagyu dari Jepun merupakan daging termahal yang dijual di pasar raya terbabit berbanding daging-daging lembu yang lain.
Biarpun wagyu berasal dari Jepun, namun selama ini, wagyu halal yang terdapat di pasaran Malaysia hanyalah wagyu yang diternak di Australia. Namun, keadaan berubah sejak tahun lalu apabila sebuah syarikat bumiputera, AAH Nippon Sdn. Bhd. merintis jalan mengimport wagyu asli halal dari Jepun ke pasaran negara ini apabila sembelihannya mengikut syarak dan mendapat sijil halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).
Ia merupakan syarikat yang diterajui dua beradik dari Alor Setar, Kedah, Akmal Abu Hassan, 48, dan adiknya Ajwad, 46. AAH adalah singkatan nama dua beradik tersebut.
Menerangkan mengenai wagyu, Ajwad memberitahu, wagyu ialah antara jenis lembu di Jepun dan terdapat empat baka wagyu. Empat baka itu ialah wagyu hitam, wagyu coklat, wagyu shorthorn dan wagyu polled namun 90 peratus wagyu ialah wagyu hitam.
Dari segi pandangan fizikal, wagyu kelihatan lebih sasa dan besar berbanding lembu biasa.
“Ia diternak secara berbeza-beza mengikut kawasan di Jepun dan dijenamakan berasaskan kawasan. Oleh sebab itu wujud istilah seperti lembu Kobe, lembu Matsusaka dan sebagainya sedangkan semua itu adalah wagyu.
“Berat seekor wagyu antara 700 hingga 1,100 kilogram sedangkan lembu biasa di negara kita hanya 400 kilogram,” terangnya ketika ditemui di Wisma AAH yang terletak di Seri Kembangan, Selangor.
Cara ternak
Menerangkan perbandingan nilai, Ajwad berkata, seekor lembu wagyu berharga satu juta yen atau RM38,000 berbanding lembu tempatan biasa di negara ini berharga kira-kira RM4,000 seekor.
Mengenai harga potongan dagingnya, Ajwad berkata, wagyu dijual pada harga berbeza mengikut potongan bahagian-bahagiannya. Wagyu termahal adalah pada bahagian tenderloin.
“Daging lembu wagyu dipotong kepada 15 bahagian. Bahagian termahal adalah di bahagian batang pinang meliputi tenderloin, sirloin dan ribloin yang merupakan bahagian paling popular dan mendapat permintaan tinggi untuk sajian stik.
“Kami menjual tenderloin kepada pemborong atau pasar raya pada harga RM750 sekilogram. Apabila tiba kepada pengguna, mungkin berlaku sedikit kenaikan harga oleh pihak berkenaan,” katanya.
Ajwad berkata, daging wagyu Jepun lebih mahal, lembut dan enak berbanding wagyu Australia kerana keasliannya.
Katanya, wagyu Jepun begitu berjaya kerana genetiknya dari situ. Daging wagyu mempunyai lima gred (A1 hingga A5) yang diukur berdasarkan marbling iaitu corak lemaknya yang berwarna putih atau serat ototnya.
Ia menjadikan daging wagyu begitu lembut seperti cair di mulut ketika menikmatinya, kualiti yang tiada pada daging-daging yang lain.
“Selain itu faktor yang membuatkan daging wagyu Jepun begitu sedap dan lembut ialah cara ia diternak. Ia diternak di dalam kandang berlantai habuk kayu dan dilengkapi kipas angin. Ia diberi makan makanan yang berkualiti seperti rumput yang diimport dari Amerika Syarikat, vitamin, hampas jagung dan sebagainya,” katanya.
Cerita Ajwad, abangnya, Akmal yang menetap di Jepun telah mengambil masa selama lapan tahun bagi meyakinkan dua rumah sembelihan Jepun iaitu Zenkai Meat Corporation dan Nishiawa Beef untuk mempraktikkan sembelihan halal.
“Setelah menerima sijil halal daripada Jakim, kami pada November lalu menjadi syarikat pertama yang mengimport daging wagyu halal Jepun ke negara ini. Jika sebelum ini terdapat wagyu Jepun di pasaran negara ini ia tentunya tidak halal dan diseludup masuk secara haram,” katanya.
Ajwad berkata, syarikatnya mengimport sebanyak 5 hingga 8 tan wagyu sebulan yang dibekalkan kepada pasar raya, rumah-rumah stik dan hotel-hotel lima bintang.
Sedangkan, katanya, permintaan terhadap wagyu secara keseluruhannya di negara ini begitu besar iaitu 40 tan sebulan.
“Wagyu seringkali dianggap sajian mewah dan mahal namun harganya berpotensi untuk menjadi lebih rendah jika rakyat negara ini mempelbagaikan cara pemakanannya dan tidak hanya stik yang tertumpu pada bahagian lembu tertentu sahaja.
“Ini membolehkan kami mendapat lembu wagyu pada harga yang lebih murah kerana kita membeli banyak bahagian. Saya mahu mendidik masyarakat untuk makan wagyu secara yakiniku iaitu barbeku serta shabu shabu (celur) yang melibatkan pelbagai bahagian wagyu.
“Apabila harganya lebih rendah, maka lebih ramai rakyat Malaysia berpeluang menikmatinya,” katanya.
Bekalan
Sementara itu, cef sajian wagyu di restoran Jepun, Shin Nihon, Sri Hartamas, Ahmad Khairizal Osman berkata, 60 peratus pelanggan restoran ialah orang Melayu.
“Setiap kali orang mencuba daging wagyu di sini, mereka akan datang lagi. Komen mereka yang merasainya kali pertama biasanya akan mengatakan betullah, sangat lembut sehingga cair di mulut,” katanya sambil memberitahu antara pelanggan Shin Nihon ialah Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad, pelakon, Nabil Ahmad dan penyanyi, Anuar Zain.
Shin Nihon yang mendapat bekalan wagyu daripada AAH Nippon menyajikan daging-daging wagyu halal dari Australia dan Jepun.
Menerangkan tentang rasa daging memang sukar namun Khairizal yang mempunyai pengalaman dua dekad dalam sajian wagyu menjelaskan perbezaan keenakan wagyu Jepun berbanding Australia secara mudah.
“Daging wagyu Jepun begitu sedap sehingga memadai jika diperap dengan garam, sebaliknya wagyu Australia memerlukan bahan-bahan perapan lain,” ujarnya.










