Kediaman resort di tepi pantai - Utusan Malaysia

Kediaman resort di tepi pantai

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MEMILIKI residensi berhampiran pesisir pantai tentu menjadi impian ramai. Dengan suasana resort mewah, persekitarannya pasti membangkitkan mood percutian yang jarang diperolehi.

Bakal siap pada 2020, fasa pertama projek terbaharu Sepang GoldCoast Sdn. Bhd. akan menampilkan suatu kelainan untuk rakyat negara ini.

D’Festival High Street bukan sahaja muncul dengan 48 unit lot kedai dan perniagaan dalam sebuah kawasan seluas enam hektar, tetapi juga memiliki unit-unit suite untuk hotel serta kediaman.

Menurut Naib Presiden Pemasaran dan Jualan Antarabangsa, Sepang GoldCoast Sdn. Bhd., Steven Yap, selain unit komersial, sebanyak 954 unit suite resort akan dibina dalam projek terbaharu itu.

Terletak berdekatan dengan Avani Sepang GoldCoast Resort di pantai Bagan Lalang, Sepang, Selangor, D’Festival High Street dijangka membuka lebih banyak peluang untuk industri ekopelancongan tempatan membangun.

“Ekopelancongan menjadi faktor penting dalam membantu pembangunan pantai di sebelah barat Semenanjung.

“Seiring dengan minat mendalam yang mula kelihatan dalam kalangan masyarakat, residensi pelancongan juga semakin meningkat,” katanya kepada S2 baru-baru ini.

Dikelilingi alam semula jadi pantai yang menjadi dambaan ramai, unit residensi D’Festival memperuntukkan antara 30 sehingga 40 peratus daripada suite resortnya untuk jualan pemilikan individu.

Suite resort yang tersedia adalah studio berkeluasan 477 kaki persegi, bermula dengan harga RM400,000, dan suite dua bilik berkeluasan 740 kaki persegi, dengan harga sekitar RM600,000.

Manakala suite tiga bilik berkeluasan 970 kaki persegi pula akan dijual pada harga kira-kira RM800,000.

Di samping itu, pusat komersial juga akan menjadi tarikan utama D’Festival yang terletak hanya beberapa meter dari Avani Sepang GoldCoast Resort dan pantai Bagan Lalang.

“Walaupun sedang membangun, kawasan di pantai Bagan Lalang masih mengekalkan ciri-ciri eko yang sedia ada dan terkawal.

“Malah, pengunjung boleh melihat keunikan hutan paya bakau dan keindahan flora dan fauna yang kekal terpelihara dan dipulihara.

“Itu menjadi ‘tiket’ bagi pengunjung ke D’Festival High Street apabila projek itu siap kelak,” tambahnya.

Menurut Steven, kedudukan D’Festival yang berdekatan dengan pintu masuk negara iaitu Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Sepang dan beberapa lebuh raya utama dari ibu negara turut menjadi faktor yang meyakinkan untuk tarikan ramai.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN