Setiap hari ratusan pesakit sama ada lelaki, perempuan, bayi, kanak-kanak, dewasa dan warga emas memenuhi MFH untuk mendapatkan perkhidmatan kesihatan. Masalah kesihatan seperti demam, batuk dan selesema adalah perkara biasa, namun ramai juga yang mengalami kecederaan seperti patah tangan dan kaki turut mendapatkan rawatan di sini.
Terdapat juga kes-kes luar biasa yang dirawat di sini yang boleh menceritakan ‘kesengsaraan’ hidup sebagai pelarian. Contohnya, saya menemui seorang pesakit perempuan Rohingya yang sedang dirawat kerana meminum air bateri kenderaan lantaran kehausan.
Saya juga menjumpai semula fenomena aneh yang pernah ditemui di Hospital Cox’s Bazar pada tahun lalu, iaitu ramai pelarian menghidap hernia atau angin pasang.
Menurut Dr. Eugiene, seorang doktor yang berkhidmat di Hospital Terendak Melaka, antara puncanya disebabkan kerja-kerja berat yang dilakukan.
Benar, sebagai pelarian, mereka melakukan terlalu banyak pekerjaan berat seperti mencari kayu api di hutan, mengangkat air bersih, mengangkat barang bantuan sehingga terpaksa berjalan kaki jauh berkilometer-kilometer setiap hari.
SELAMATKAN MANGSA SEMBELIH
Selain itu, MFH juga memberikan rawatan pergigian, rawatan untuk ibu mengandung dan bersalin, pembedahan, merawat kecederaan ringan dan serius. Sehingga kini, MFH berjaya melakukan hampir 800 pembedahan melibatkan pelbagai kes kecil dan besar.
Saya berpeluang menemui seorang lelaki Rohinya berusia 40-an yang diselamatkan daripada kecederaan serius pada leher setelah disembelih. Dengan izin Allah, selain kemampuan para doktor dan kelengkapan perubatan dimiliki, MFH berjaya menyelamatkan nyawa lelaki ini yang kini semakin pulih daripada kecederaan.
MFH adalah hospital tahap 3 yang mempunyai kapasiti 50 katil tetapi boleh ditingkatkan kepada 100 katil jika memerlukan.
Mempunyai wad berasingan bagi wanita dan lelaki, Unit Kecemasan dan Resusitasi, Perubatan Dalaman, Pembedahan Am, Ortopedik dan Trauma, Perbidanan dan Sakit Puan, Neonatal dan Pediatrik, Perubatan Pencegahan serta Pergigian.
MFH turut dilengkapi dua bilik pembedahan, satu bilik bersalin, wad kanak-kanak, lelaki dan wanita dewasa.
Ia juga disokong kemudahan dua buah ambulans, empat unit kenderaan utiliti, sebuah bas coaster (25 tempat duduk) dan sebuah kenderaan utiliti tambahan.
Jumlah keanggotaan pula seramai 56 orang pada setiap masa termasuk lapan orang doktor pakar, enam pegawai perubatan dan 43 staf sokongan seperti jururawat, dan jurumesin x-ray.
KERJASAMA ERAT DEMI KEMANUSIAAN
MFH turut berfungsi sebagai pusat rujukan akhir bagi hospital medan lain iaitu Hospital Medan Turki, Medicine Sans Frontier dan International Federation of Red Cross Hospital serta menerima rujukan daripada 286 pusat kesihatan primer yang diuruskan oleh NGO antarabangsa lain.
Angkatan Tentera Malaysia bekerjasama dengan NGO Malaysia iaitu Islamic Medical Association Relief Team (Imaret), Malaysian Relief Agency (MRA) dan Mercy Malaysia. NGO-NGO ini membantu dengan menghantar doktor-doktor pakar dan pegawai perubatan bagi membantu operasi MFH dari semasa ke semasa.
MFH turut disokong oleh tiga negara Islam lain iaitu Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu dan Brunei yang menyediakan peralatan perubatan dan kenderaan, manakala Malaysia menyediakan pasukan perubatan serta membiayai kos operasi.
Kewujudan MFH di Cox’s Bazar diibaratkan umpama ‘mesin nyawa’ bagi kira-kira sejuta pelarian Rohingya yang menjadi mangsa kekejaman di tanah air sendiri.
Sebagai rakyat Malaysia, saya berbangga menyaksikan kehadiran MFH di bumi Bangladesh. Amat terharu apabila melihat nilai-nilai kemanusiaan Malaysia terus subur di bumi orang.
Memetik kata-kata Komander MFH, Kolonel (Dr.) Mohd. Arshil Moideen, tidak semua negara sanggup melakukannya, tetapi Malaysia sebagai sebuah negara Islam telah menunjukkan teladan terpuji kepada negara-negara bukan Islam.











