LONDON – Pengurus Chelsea, Maurizio Sarri menganggap pemainnya, Eden Hazard sebagai pemain terbaik di Eropah selepas dia meledak hatrik ketika membantu The Blues membelasah Cardiff City 4-1 pada aksi Liga Perdana England (EPL) malam kelmarin.
Pada perlawanan yang berlangsung di Stamford Bridge itu, Cardiff terlebih dahulu berada 1-0 di depan menerusi Sol Bamba sebelum Hazard dan Willian menjaringkan empat gol buat pasukan tuan rumah.
Justeru, Sarri mengakui pemain antarabangsa Belgium itu memiliki potensi untuk meledak 40 gol musim ini, sekali gus mampu menandingi kehebatan bintang Barcelona, Lionel Messi serta legenda Real Madrid, Cristiano Ronaldo.
“Sebelum ini saya hanya fikir Hazard mungkin merupakan salah seorang pemain terbaik di Eropah tetapi hari ini dia berjaya buktikan dan menjadi yang terbaik. Saya percaya dia mampu menjaringkan 40 gol musim ini.
“Bagaimanapun, untuk melakukan perkara itu, dia perlu bijak menyimpan tenaga. Hazard hanya perlu bermain secara selamat dan hanya gunakan segala tenaga ketika berada pada jarak 25 meter dari pintu gol,” kata Sarri.
Dalam pada itu, pengendali Cardiff, Neil Warnock menerima kekalahan pasukannya dengan hati terbuka selain mengakui mana-mana pasukan harus bersedia sepenuhnya jika bertemu pasukan seperti Chelsea.
“Amat sukar apabila bertemu pasukan seperti Chelsea kerana mereka memiliki pemain seperti Hazard. Dia amat sukar dikawal tetapi saya akui gembira menyaksikan dia mampu bermain seperti itu,” ujar Warnock. – Agensi










