KUALA LUMPUR 20 Sept. – Jabatan agama Islam negeri (JAIN) boleh mengambil tindakan terhadap mana-mana individu yang berperwatakan berlainan jantina seperti ‘maknyah’ sekiranya mereka menonjolkan diri di tempat awam termasuk di media sosial.
Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia, Musa Awang berkata, walau bagaimanapun tindakan berkenaan hanya boleh dilakukan jika JAIN menerima aduan rasmi daripada orang ramai.
Beliau berkata,sekiranya didapati bersalah, mereka boleh disabitkan dengan kesalahan di bawah Akta Jenayah Syariah (Wilayah Persekutuan 1997).
“Peruntukan akta tersebut membolehkan JAIN boleh mengambil tindakan apabila menerima aduan daripada orang ramai tentang perlakuan golongan terbabit yang tidak bermoral.
“Sekiranya mereka disabitkan kesalahan, mereka (mak nyah) boleh diambil tindakan akibat melakukan perkara tidak bermoral, berpakaian seperti perempuan dan berkelakuan di khalayak awam, “ katanya dalam sidang akhbar selepas menjadi panelis Forum hukum syariah: Keadilan atau kezaliman Ummah di Hotel Putra di sini hari ini.
Beliau mengulas berhubung terdapat golongan ‘mak nyah’ yang ketika ini gemar menonjolkan diri termasuk berpakaian seksi bagi menarik perhatian masyarakat terutama di tempat terbuka mahupun menerusi media sosial. -UTUSAN ONLINE











