ALOR SETAR – Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah berkenan berangkat ke istiadat Letak Kerja sempena pertabalan baginda sebagai Sultan Kedah Ke-29 di Balai Besar di sini sebentar tadi.
Istiadat Letak Kerja itu berlangsung dalam suasana penuh tradisi dan adat resam Kesultanan Melayu Kedah sebagai penzahiran tanda perkenan Sultan Kedah untuk memulakan istiadat pertabalan baginda.
Sultan Sallehuddin bakal ditabalkan sebagai Sultan Kedah di Istana Anak Bukit di sini pada 22 Oktober depan.
Turut berangkat Sultanah Kedah, Sultanah Maliha Tengku Arif dan Raja Muda, Tengku Sarafudin Badlishah Sultan Sallehuddin dan Che Puan Muda Zaheeda Mohamad Ariff.
Hadir sama, Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir dan isterinya, Datin Seri Norzieta Zakaria.
Istiadat itu dimulakan dengan perarakan membawa masuk batil perak yang diisi air mata dari 12 daerah di negeri ini yang diakhir dengan membawa air zam-zam.
Istiadat Letak Kerja itu kemudiannya diteruskan perarakan membawa masuk sembilan jenis bunga-bungaan oleh beberapa kerabat diraja wanita.
Bunga-bungaan tersebut adalah bunga cempaka kuning, bunga melur, bunga kesidang, bunga melati, bunga kenanga, bunga lili, bunga mawar kuning, bunga kekwa dan bunga harum malam.
Perarakan itu diakhiri dengan membawa masuk dulang yang mengandungi sintok, limau dan kemenyan oleh tiga penghulu.
Kesemua air mata air, bunga-bungaan, sintok, limau dan kemenyan itu akan digunakan pada istiadat Siram Tabal yang dijadual berlangsung di Istana Anak Bukit pada 14 Oktober depan.
Baginda selepas itu berkenan mengambil dan membuka kapsul skrol pengisytiharan yang diserahkan Setiausaha Sulit Sultan Kedah, Kol (K) Datuk Elmi Yusoff bagi menitahkan Letak Kerja dimulakan.
Pada 12 September 2017, Sultan Sallehuddin telah diisytiharkan sebagai Sultan Kedah Ke-29 menggantikan Almarhum Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah yang mangkat sehari sebelumnya. – K! ONLINE










