KUALA LUMPUR 18 Sept. – Indusri bekalan elektrik perlu memanfaatkan teknologi dan idea baharu supaya dapat berkembang selari dengan pertumbuhan pesat landskap industri.
Pengerusi Tenaga Nasional Bhd. (TNB), Tan Sri Leo Moggie berkata, selama bertahun-tahun pembangunan teknologi telah mengubah industri daripada sistem mekanikal kepada sistem data, digital dan fizikal siber.
Katanya, kemajuan dalam tenaga utama akan memerlukan pembuat dasar dalam bidang kuasa berbeza untuk menyemak semula peranan bagi rangka kerja pengawalseliaan masing-masing.
“Kita melihat trend mega dan gangguan teknologi membawa pelbagai peluang baharu, namun teknologi juga menghasilkan peserta baharu yang boleh mempercepatkan perubahan landskap.
“Justeru, penggunaan teknologi bersama rangka kerja pengawalseliaan baharu adalah caranya untuk mencapai sasaran kemapanan tenaga ke arah memastikan daya maju ekonomi, keselamatan tenaga dan pemuliharaan alam sekitar,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan alu-aluan dalam Persidangan Industri Bekalan Tenaga Elektrik (CEPSI) 2018 kali ke-22 di sini hari ini.
Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad turut hadir menyampaikan ucaptama pada persidangan berkenaan.
Yang hadir sama, Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin serta Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Seri Ir. Azman Mohd.
Moggie berkata, industri bekalan tenaga memainkan peranan kritikal dalam pembangunan ekonomi dan sosial negara termasuk menyediakan keperluan asas seperti lampu serta keselesaan.
“Saya percaya sebahagian besar daripada kita akan menghadapi masalah sekiranya tiada bekalan elektrik dalam hanya masa yang singkat, ia telah menjadi sebahagian daripada hidup kita,” katanya.











