Implikasi hamil pada usia lewat - Utusan Malaysia

Implikasi hamil pada usia lewat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEHAMILAN merupakan satu berita yang sangat dinanti-nantikan oleh semua wanita yang sudah berumah tangga.

Sama ada kehamilan tersebut hadir pada tahun pertama selepas berkahwin ataupun setelah bertahun-tahun menunggu, ia menjadi satu petanda bahawa pasangan itu bakal mempunyai cahaya mata sebagai penyambung keturunan.

Bagi wanita yang berumah tangga lebih awal, kemungkinan untuk hamil beberapa kali adalah tinggi sekiranya kadar kesuburan berada pada tahap yang baik.

Memuatkan artikel berkaitan…

Malah, ada juga keadaan wanita yang mempunyai kesuburan tinggi boleh hamil walaupun usia sudah melebihi 40 tahun.

Namun, satu persoalan yang timbul ialah adakah kehamilan pada usia lewat satu perkara yang baik?

Ada yang mengatakan kehamilan pada lewat usia khususnya melebihi 40 tahun bakal mengundang pelbagai risiko, bukan sahaja kepada ibu itu sendiri tetapi kandungan yang dibawa.

Mengulas mengenai perkara itu, Pakar Obstetriks dan Ginekologi, Pusat Pengajian Sains Perubatan, Universiti Sains Malaysia Kelantan, Dr. Fauziah Jummaat berkata, kehamilan pada usia melebihi 35 tahun dianggap sebagai advanced maternal age dan ia merupakan senario yang semakin biasa ditemui dalam kalangan wanita bekerjaya.

Katanya, terdapat pelbagai faktor yang menyumbang kepada fenomena tersebut, antaranya berkahwin pada usia lewat, kesibukan dalam kerjaya serta obses untuk mencapai kelayakan akademik yang lebih tinggi.

Jelasnya, tahap kesuburan individu yang hamil pada usia 40 tahun ke atas akan berkurangan hampir 95 peratus.

“Secara purata, masyarakat Malaysia yang mencapai umur pertengahan 40-an akan terdedah kepada pelbagai jenis penyakit seperti diabetes dan darah tinggi.

“Risiko seperti keguguran, kandungan luar rahim, eclampsia iaitu keadaan tekanan darah yang sangat tinggi semasa mengandung serta protein dalam urin, gejala sindrom Down dan diabetes semasa hamil adalah antara risiko yang bakal dihadapi oleh ibu-ibu yang mengandung pada usia lanjut,” katanya.

Menurut beliau lagi, risiko keabnormalan genetik akan meningkat sejajar dengan peningkatan usia wanita yang hamil.

Rawatan moden

Bagi wanita yang berusia 35 tahun ke atas, risiko untuk mengalami masalah tersebut adalah satu dalam 204 kelahiran, pada usia 37 tahun adalah satu dalam 130 kelahiran, pada usia 39 tahun adalah satu dalam 81 kelahiran dan pada usia 42 tahun hampir satu dalam setiap 39 kelahiran.

Bagaimanapun, kaedah perawatan moden dan diagnostik terkini yang terdapat di dalam negara mampu memberikan maklumat dan persediaan mental atau emosi kepada ibu-ibu yang berisiko.

“Kaedah penyiasatan keabnormalan genetik dan kaunseling disediakan kepada ibu yang berisiko.

“Ini bagi memberikan mereka maklumat yang tepat tentang keadaan kesihatan dan kandungan mereka.

“Ujian prenatal amniosintesis juga boleh dilakukan terhadap ibu yang berisiko tinggi disyaki mempunyai kandungan yang abnormal,” katanya.

Menurut Fauziah, ia dilakukan pada umur kandungan antara 16 hingga 18 minggu menggunakan ultra bunyi untuk mengambil sampel air ketuban.

Jarum yang halus digunakan untuk tujuan persampelan tersebut dan akan dihantar ke makmal bagi menjalani ujian genetik.

Selain itu, ibu yang hamil pada usia lewat juga boleh menjalani ujian Chorionic Villous Sampling yang dilakukan ketika usia kandungan antara 11-14 minggu.

Ia bertujuan untuk mendapatkan kepastian tentang keabnormalan genetik yang mungkin wujud pada kandungan tersebut.

Namun tegas beliau, bagi memastikan kandungan sentiasa sihat dan mengurangkan risiko dalam kalangan ibu mengandung tanpa mengira usia, mereka perlu menjalani gaya hidup yang sihat, menghindari asap rokok atau merokok, mengambil vitamin seperti asid folik dan B kompleks serta memastikan imunisasi lengkap diambil.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini