KUALA LUMPUR 19 Sept. – Huawei Technologies Co. Ltd. melihat potensi yang tinggi bagi ruang untuk bekerjasama dalam projek perintis penawaran khidmat jalur lebar berkelajuan tinggi (HSBB) oleh Tenaga Nasional Bhd. (TNB).
Ketua Pegawai Teknologi Huawei Technologies, Paul Scanlan berkata, pihaknya dan TNB buat masa ini belum berbincang secara terus tentang agenda telekomunikasi syarikat utiliti negara.
Namun katanya, beliau tidak menolak kemungkinan bagi Huawei untuk bekerjasama dengan TNB pada masa akan datang.
Jelas beliau, kerjasama di antara syarikat utiliti dan telekomunikasi akan membawa kepada penawaran perkhidmatan jalur lebar pada harga lebih rendah menerusi penjimatan kos kerana 65 peratus daripada kos keseluruhan adalah kos operasi.
“Syarikat utiliti menawarkan projek stesen janakuasa sementara syarikat telekomunikasi memiliki pusat data dan lain-lain kemudahan yang mampu melengkapi satu sama lain.
“Saya tidak mengatakan ya mahupun tidak terhadap potensi kerjasama ini, Huawei akan mengkaji peluang ini,” katanya kepada pemberita sempena Persidangan Industri Bekalan Tenaga Elektrik (CEPSI) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini hari ini.
Terdahulu, Scanlan merupakan seorang daripada ahli panel bagi sesi ucaptama bertajuk Pendigitalan Bekalan Tenaga Elektrik (ESI) dan Revolusi Perindustrian 4.0.
Sementara itu, Naib Presiden Kanan Kumpulan Bahagian Grid Kuasa Asia Selatan, Asia Barat dan Afrika ABB Group, Venu Nuguri mengakui sinergi di antara syarikat utiliti dan telekomunikasi menjadi semakin relevan dalam dunia pendigitalan ekonomi.
“Syarikat utiliti kini sedang melaraskan struktur perniagaan kami dengan model perniagaan tambahan berkaitan Internet Untuk Segala-galanya (IoT).
“Penggunaan kepintaran buatan (AI) misalnya akan membolehkan proses autonomous yang kompleks,” katanya.










