SINGAPURA – Juara dunia empat kali, Lewis Hamilton terus gah menguasai perlumbaan Formula Satu (F1) selepas menjulang kemenangan pada perlumbaan Grand Prix (GP) Singapura malam tadi.
Kemenangan tersebut membuatkan pencabar utamanya dari Ferrari, Sebastian Vettel semakin tertekan untuk merapatkan jurang apabila hanya mampu menamatkan saingan di kedudukan ketiga sementara pemandu Red Bull, Max Verstappen menamatkan saingan di kedudukan kedua.
Strategi memasuki hentian pit seawal pusingan ke-16 adalah langkah bijak buat Mercedes apabila Hamilton berjaya mengekalkan cengkaman tayar dengan baik sepanjang 61 pusingan dan menjuarai perlumbaan tersebut dengan catatan 1 jam 51 minit 11.611 saat
Hasil kemenangan tersebut, pemandu pasukan Mercedes itu terus menjarakkan kedudukannya selaku pendahulu kejuaraan F1 kepada 40 mata berbanding Vettel selepas mengumpul 281 mata dengan baki enam perlumbaan.
“Ia adalah perlumbaan yang sukar bagi saya di Singapura tetapi memulakan saingan di petak pertama adalah yang terbaik. Terima kasih kepada pasukan yang sentiasa meletakkan kepercayaan yang tinggi kepada saya dan Valtteri Bottas.
“Tekanan masih saya rasai apabila Verstappen sentiasa mengekori rapat terutama pada pusingan ke-58 selain keadaan trafik yang mencabar memberi kesukaran pada perlumbaan kali ini. Terima kasih kepada semua yang memberi sokongan kepada saya,” katanya.
Untuk rekod, ia adalah kemenangan keempat Hamilton di Litar Marina Bay selepas menjulang kemenangan pertama pada tahun 2009 ketika mewakili pasukan McLaren Mercedes.
Lima tahun selepas itu, Hamilton k menjuarai kemenangan sulung bersama pasukan Mercedes pada tahun 2014 dan seterusnya pada 2017. Pada 2018, Hamilton mempamerkan aksi terbaiknya sekali lagi di Singapura selepas mengekalkan kedudukan terbaik apabila memulakan perlumbaan di kedudukan pertama. – Agensi










