Gelombang ketiga Maya Karin - Utusan Malaysia

Gelombang ketiga Maya Karin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAGAIKAN bintang yang kembali terang di langit kelam, itu istilah tepat bagi menggambarkan dia saat ini. Maya Karin adalah antara permata yang bakal dikenang dalam lipatan sejarah sebagai antara wanita paling bertuah dalam kerjaya seni.

Munafik, mendengarkan sahaja perkataan itu sudah menggambarkan sikap kepura-puraan dan pendosa. Tapi Munafik juga membawa Maya Karin dan Syamsul Yusof serta seisi produksi tersenyum manis.

Ternyata percaturan inti pati yang digaul dalam filem Munafik 2 secukup rasa malah terus menjadi perhatian penikmat filem yang berpusu-pusu menyumbang kepada sejarah baharu perfileman tanah air.

“Sehingga ke hari ini saya masih tidak percaya filem ini diterima baik sehingga mencatatkan sejarah tersendiri. Perkara begini jarang sekali berlaku dan saya antara insan bertuah kerana berada di dalamnya.

“Setidaknya ini adalah isyarat baik terhadap usaha keras seluruh produksi dalam menghasilkan filem yang baik dalam keadaan pasaran yang tak menentu dalam negara kita,” kata Maya.

Menariknya fenomena yang berlaku kepada Munafik 2 arahan Syamsul ini terlebih dahulu ‘hinggap’ kepada filem Hantu Kak Limah yang mengumpul kutipan sebanyak RM35 juta.

Mengikut jejak, Munafik 2 pula mengumpul RM35 juta sehingga ke hari ini sejak ditayangkan 30 Ogos yang lalu. Adakah benar ini petanda industri perfileman kembali bergemerlapan atau sekadar kebetulan?

Mendasari isi hatinya, Maya tidak mahu menganggap ia sebagai satu kebetulan. Pintanya biarlah petanda baik ini berterusan sampai bila-bila bagi mengemilangkan semula industri.

“Industri kita sudah lama berhadapan dengan keadaan tidak menentu dan sekarang sudah ada sinar. Ayuh terus hasilkan filem yang berkualiti dan meraih semula kepercayaan penonton.

“Jika semua penerbit memikirkan tentang kualiti cerita dan menitik beratkan soal pembikinan, industri tidak akan berhadapan dengan masalah kutipan. Ini yang saya harapkan,” kata wanita cantik ini yang kini berusia 39 tahun.

Harga sebuah kritikan

DALAM pada gembira menyambut penerimaan penonton, ada dalam kalangan mereka sebenarnya yang mengkritik Munafik 2 dengan pelbagai andaian buruk. Menyedari perkara berkenaan, Maya hanya tersenyum menyambut kritikan tersebut.

Ada kala dia sendiri keliru mengapa ‘puak-puak’ ini begitu membenci Munafik 2 tanpa sebarang sebab yang kukuh. Apa salahnya filem ini? Apa dosa Syamsul? Semuanya bermain dalam benak fikirannya.

“Ada yang mengutuk filem ini seperti kami melakukan kesalahan besar. Tidak ada seinci pun kebaikan dalam filem ini pada pandangan mereka. Kenapa jadi begitu?

“Komen yang ditinggalkan juga tidak adil untuk produksi sedangkan masih banyak perkara positif yang boleh diambil. Jika tidak suka kepada cerita, lihat pada sudut teknikal,” tambahnya.

Pun begitu dia tidak pernah terkesan dengan kutukan yang diterima. ‘Golongan’ ini hanyalah satu persepuluh sahaja dan ia tidak menjejaskan apa-apa. Nisbah selebihnya, masih ramai yang menghargai mereka dan ini dibuktikan dengan jumlah sambutan yang diterima di pawagam.

Berbisa

MELIHATKAN barisan pelakon yang membintangi filem ini, rata-rata mereka berusia lebih 30 tahun. Pengalaman menjadi kunci utama kekuatan Munafik 2 dan bukannya populariti media sosial semata-mata.

Kejayaan ini juga menepis dakwaan yang pengikut Instagram penting untuk menarik perhatian peminat. Jika diamati kebanyakan penerbit sebelum ini lebih gemarkan mereka yang popular walaupun ‘belum cukup masak’. Bagaimanapun Syamsul memilih di sebaliknya, mencari kelebihan kuasa lakonan bagi setiap watak yang berdampingan dengannya dalam naskhah ini.

“Saya memang menyedari tentang perkara ini sejak mula masuk ke set penggambaran. Bila melihatkan wajah-wajah yang ada, semuanya tidak muda lagi dan sudah berpengalaman.

“Ini membuktikan hero dan heroin bukan untuk mereka yang muda dan mempunyai berjuta pengikut sahaja. Isi penceritaan, pengalaman pelakon dan kru yang profesional menyumbang kepada sebuah kejayaan,” jelasnya.

Tidak pernah merasakan usia adalah penghalang untuknya terus menakluk dunia, Maya berpendapat kejayaan Hantu Kak Limah dan Munafik 2 membuktikan teori menggunakan pelakon popular kini sudah kurang tepat.

Sesiapa sahaja boleh mencipta sejarah dan diterima ramai asalkan produk tersebut berkualiti dan dipercayai.

“Mereka membangunkan watak Sakinah dengan begitu baik. Walaupun kami turut berhadapan dengan pelbagai masalah semasa penggambaran, itu bukan alasan untuk saya melakukan kerja sambil lewa.

“Syamsul sangat teliti dan tahu untuk menghidupkan setiap watak yang ada. Pembangunan watak amat penting berbanding dengan populariti semata-mata,” kata Maya penuh makna.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN