LONDON – Pasukan Ferrari kini dalam dilema apabila terpaksa memilih sama ada mengikut perjanjian lama yang dilakukan oleh bekas presidennya, Sergio Marchionne atau mengikut percaturan presiden baharu, Louis Camilleri.
Laporan media Jerman mendedahkan, Ferrari di bawah Marchionne telah menandatangani kontrak dengan pemandu program pembangunan pasukan, Charles Leclerc untuk digandingkan bersama rakan sepasukan, Sebastian Vettel musim depan.
Bagaimanapun, Marchionne meninggal dunia Julai lalu dan kini diganti oleh Camilleri yang difahamkan, mahu melanjutkan kontrak pemandu sedia ada, Kimi Raikkonen.
Bercakap kepada media di Monza, Itali baru-baru ini, Camilleri memaklumkan bahawa Ferrari belum membuat sebarang keputusan berhubung perkara tersebut.
“Apabila kami mahu membuat keputusan, maka tiada sebarang tempoh ditetapkan dan kamu (media) akan menjadi orang kedua mengetahui hasil keputusan itu nanti,” kata Camilleri.
Bagaimanapun, menurut laporan majalah sukan permotoran, sudah ada keputusan dibuat atau sekurang-kurangnya sudah ada kontrak, namun ia bukan atas kehendak Camilleri.
Susulan Grand Prix (GP) Itali minggu lalu, terdapat laporan mendedahkan bahawa Ferrari memutuskan untuk menggunakan Leclerc sebagai pemandu musim depan bagi menghormati perancangan yang mahu dilaksanakan oleh Marchionne sebelum meninggal dunia.
Sekiranya Ferrari mengekalkan Raikkonen musim depan, maka Leclerc dijangka memandu untuk pasukan Haas sebagai rakan sepasukan Kevin Magnussen. – Agensi











