KUANTAN 29 Sept. – Seorang doktor wanita berusia 50 tahun di sini kerugian sebanyak RM71,000 selepas diperdaya dua individu melalui panggilan telefon baru-baru ini.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial negeri, Superintenden Mohd. Wazir Mohd. Yusof berkata, mangsa dihubungi seorang wanita yang mengaku sebagai pegawai sebuah bank memaklumkan kononnya terdapat tunggakan pinjaman selama tiga bulan.
“Mangsa menafikan dakwaan itu sebelum talian disambung kepada seorang lelaki yang menyamar sebagai anggota polis dari Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu dan memaklumkan kononnya dia sedang disiasat kerana terlibat kes penggubahan wang haram dan dadah,” katanya di sini hari ini.
Menurut Mohd. Wazir, mangsa kemudian digertak akaunnya akan dibekukan dan diminta memindahkan wang ke dalam dua akaun bank milik dua lelaki berkenaan.
“Selepas melakukan transaksi, mangsa kemudian menyedari ditipu dan membuat laporan polis.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan. Orang ramai dinasihatkan supaya tidak mudah percaya kepada pemanggil telefon yang tidak dikenali,” katanya. – UTUSAN ONLINE











