SAUDARA PENGARANG,
DENGAN usia 55 tahun, Malaysia sudah mencapai satu tahap kematangan sebagai negara persekutuan yang berdaulat.
Para pemimpin berfikiran terbuka dan realistik atas semangat Malaysia yang dapat dipelihara sejak 55 tahun lalu. Semuanya dapat ditangani dengan baik untuk kepentingan semua pihak.
Pembangunan fizikal, infrastruktur, pendidikan, ekonomi, peluang pekerjaan dan lain-lain dapat dilaksanakan dengan kerjasama semua pihak yang terlibat. Meskipun landskap politik negara berubah selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), kerjasama di antara Kerajaan Pusat dengan kerajaan negeri masih baik.
Daripada idea Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj hinggalah penubuhannya pada 16 September 1963, Malaysia berdiri megah hari ini. Oleh itu, apa-apa idea yang hendak melemah dan memecahbelahkan Persekutuan Malaysia hendaklah ditangani dengan tegas.
Gerakan-gerakan pemisah yang hendak membawa keluar Sarawak dan Sabah wajar dibendung dengan segera kerana ia tidak membawa kebaikan malah kemudaratan yang lebih besar dalam situasi ketidaktentuan geopolitik antarabangsa hari ini.
One state, one nation merujuk Malaysia yang satu, hendaklah dipertahankan seperti mana asal penubuhannya yang mengambil kira faktor politik (keselamatan, kemerdekaan dan dekolonisasi), ekonomi (kerjasama dan pembangunan wilayah) dan sosial (kependudukan dan peningkatan taraf hidup) dapat diteruskan.
Akhir sekali, peranan pemimpin dalam menjayakan penubuhan Malaysia janganlah dilupakan khususnya bagi generasi muda hari sama ada di sekolah, kolej, universiti atau di mana-mana sekalipun.
Merekalah pejuang dan penyatu yang telah mengorbankan idea, buah fikiran, masa dan tenaga untuk Malaysia hari ini. Tokoh-tokoh seperti Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj, Tun Abdul Razak Hussein, Tun Mohammad Fuad Stephens (Donald Aloysius Marmaduke Stephens), Tun Datu Mustapha Datu Harun, Tun Datuk Patinggi Tan Sri Temenggung Jugah anak Barieng dan lain-lain yang mewakili suara hati penduduk untuk bergabung bagi menjadikan Malaysia gagah dan megah seperti mana hari ini.
Mendepani kepelbagaian bersama dalam sayangi Malaysiaku. Dirgahayu Malaysia.
PROF. MADYA DR. KHAIRUL AZMAN MOHD. SUHAIMY
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia










