KUALA LUMPUR – RA Boutique Sdn. Bhd., bakal meluaskan rangkaian pemasarannya di Lembah Klang dengan menempatkan pelbagai koleksi pakaian berjenama, Cindai di gedung beli-belah, Metrojaya di MidValley di sini pada awal bulan depan.
Pengasas syarikat, Datin Aida Suraini Ibrahim berkata, ini merupakan langkah awal empayarnya dalam dunia fesyen setelah berjaya mengukuhkan jenama Cindai dalam kalangan pelanggannya di kawasan utara melalui butik yang telah beroperasi di Jitra, Kedah sejak tahun 2014.
Menurutnya, sebagai permulaan, syarikat akan mempamerkan kira-kira 200 pakaian wanita termasuk skirt, blaus, dress dan pakaian lelaki yang dapat memenuhi cita rasa dan keperluan pelanggan di pusat beli-belah tersebut.
“Koleksi pakaian di Metrojaya adalah eksklusif dan ia berbeza dengan koleksi yang dipamerkan di butik kami di Jitra malah harganya juga lebih mahal kerana memiliki kelasnya yang tersendiri,” katanya.
Beliau berkata pada sesi temu bual bersama media mengenai perkembangan terbaharu butik Cindai di Jitra baru-baru ini.
Aida Suraini menerangkan, RA Boutique sangat bertuah kerana perniagaan tersebut diusahakan bersama adik-beradiknya yang memiliki kemahiran masing-masing lengkap daripada aspek perbankan, perakaunan, pemasaran dan rekaan fesyen.
Mengulas lanjut mengenai butik Cindai di Jitra, Aida Suraini menerangkan, syarikat mula terlibat menjual koleksi pakaian kasual sejak tahun lalu sebelum hanya memfokuskan kepada bisnes jualan tudung dan baju kurung.
Penambahan koleksi ini adalah untuk memenuhi permintaan pelanggan yang pelbagai kerana mereka turut nenawarkan perkhidmatan jualan pakaian sedia dipakai dan juga pakaian yang ditempah mengikut cita rasa pelanggan.
“Pelanggan hanya perlu menunggu antara satu hingga dua hari untuk perkhidmatan yang ditempah kerana kami memiliki tenaga kerja yang mencukupi malah ini merupakan antara keunikan butik Cindai untuk menarik lebih ramai pelanggan.
“Namun kami tidak berkompromi pada aspek kualiti kerana ia adalah kekuatan syarikat untuk mengekalkan keunikan serta imej kami untuk menjadi salah sebuah butik terkemuka di kawasan utara,” jelasnya.
Tambah beliau, sehingga kini, 70 peratus daripada perolehan jualan disumbangkan daripada segmen online yang mana promosi koleksi fesyen pakaian dipromosikan melalui platform media sosial manakala bakinya disumbangkan daripada jualan secara offline.










