KUALA LUMPUR 26 Sept. – UMNO dengan kerjasama parti-parti komponen Barisan Nasional (BN) telah membentuk ‘Kabinet bayangan’ menggunakan sistem Jawatankuasa Portfolio (JKP) bagi setiap kementerian di bawah kerajaan Pakatan Harapan.
Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa berkata, setiap JKP itu terdiri daripada pengerusi bersama melibatkan dua Ahli Parlimen BN.
Katanya, BN juga menjemput blok pembangkang Gagasan Sejahtera yang diketuai Pas serta blok pembangkang di Sarawak untuk menyertai Kabinet bayangan yang akan diketuai oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.
“JKP ini nanti akan melantik sekurang-kurangnya tiga orang lagi dalam kalangan profesional termasuk kalangan Wanita dan Pemuda khususnya barisan pelapis.
“JKP ini memainkan peranan menyemak dan mengimbangi setiap kementerian yang ada. Ia juga bertindak untuk memperincikan polisi serta menggubal dasar alternatif menyaingi dasar Pakatan Harapan,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini. – UTUSAN ONLINE











