KUALA LUMPUR 29 Sept.- Kerajaan Pakatan Harapan perlu berhenti menyalahkan kerajaan sebelum ini, sebaliknya perlu memikul tanggungjawab dan akauntabiliti terhadap setiap tindakan mereka.
Malah, Ketua Pergerakan Wanita UMNO, Datuk Dr. Noraini Ahmad menyarankan sekiranya kerajaan Pakatan Harapan tidak mampu mentadbir negara, mereka perlu mengembalikannya semula kepada Barisan Nasional (BN).
“Sebelum pilihan raya umum, bergegar janji mereka untuk melakukan macam-macam perkara, tetapi setelah mendapat kuasa dan jawatan pelbagai alasan yang diberikan.
“Kononnya hendak menghapuskan cukai barang dan perkhidmatan (GST), tetapi rakyat kini terpaksa menanggung cukai jualan dan perkhidmatan (SST). Malah, dahulu berdegar- degar bersimpati dengan penerima PTPTN, namun setelah mendapat kuasa mengatakan tiada tanggungjawab moral kalau peminjam tidak membayarnya.
“Selain itu, isu pemansuhan tol dari Simpang Renggan ke Johor Bahru, sekarang mana pergi janji tersebut. Jangan lupa pula dengan laungan menurunkan harga petrol RON 95 yang sehingga kini 142 hari memerintah harga masih di takuk lama,” katanya dalam ucapan dasar sempena Perhimpunan Agung Wanita UMNO 2018 di sini hari ini.- UTUSAN ONLINE











