WASHINGTON – Beratus-ratus ekor kambing gunung liar telah dipindahkan dari Taman Negara Olimpik di sini ke sebuah habitat alpine berhampiran menggunakan helikopter dalam usaha melindungi alam semula jadi, mengurangkan isu keselamatan pengunjung dan meningkatkan populasi kambing liar di tempat lain di negeri ini.
Tindakan itu diambil kerana kambing-kambing liar tersebut dipercayai telah mengancam ekosistem semula jadi termasuk makan dan memijak tumbuh-tumbuhan sensitif, merosakkan tanah apabila mereka berkerumun dan mengganggu pendaki serta pelawat yang berada di trek.
Keputusan untuk memindahkan lebih kurang 375 ekor kambing tersebut ke Taman Negara Cascades Utara di sini yang merupakan habitat asal mereka telah diluluskan oleh pihak berkuasa taman pada bulan Jun lalu.
Kru profesional telah menggunakan damak penenang dan pistol jaring untuk menangkap haiwan tersebut dari rabung dan cerun berbatu di taman negara yang terletak kira-kira 160 kilometer di barat Seattle, Amerika Syarikat itu sebelum mereka dimasukkan ke dalam kurungan.
Pihak berkuasa taman menganggarkan kira-kira 275 hingga 325 ekor kambing liar yang tidak dapat ditangkap akan ditembak dan dibunuh.
“Usaha itu akan mengurangkan isu dengan kambing-kambing gunung bukan asli di Olimpik di samping dapat memperbanyakkan jumlah kambing gunung liar itu di Cascades Utara,” kata Superintendan Taman Negara Olimpik, Sarah Creachbaum dalam satu kenyataan. – Agensi










