Bekas pegawai Timbalan Menteri rakam bawah skirt wanita ditahan - Utusan Malaysia

Bekas pegawai Timbalan Menteri rakam bawah skirt wanita ditahan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Bekas pegawai Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Mohd. Azis Jamman diberkas bagi membantu siasatan kes rakaman video bawah skirt wanita di sebuah premis cermin mata di ibu kota hari ini.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, lelaki berusia 47 tahun itu ditahan pada pukul 1 petang di sebuah restoran dalam sebuah kompleks beli-belah di sini.

Katanya, orang ramai juga dinasihatkan supaya tidak menyebarkan rakaman video berkenaan kerana ia kini dalam siasatan pihak polis.

“Kita mengesahkan menerima satu laporan polis berkenaan seorang wanita yang mendakwa seorang lelaki merakam video dari bawah skirt miliknya pada Jumaat lalu.

“Kes itu kini sedang disiasat mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955 (Akta 336) kerana kesalahan menggunakan perkataan atau isyarat yang bermaksud mengaibkan kehormatan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, pihaknya meminta orang ramai yang mempunyai maklumat untuk menghubungi Pegawai Penyiasat Kanan, Asisten Superintendan Azrizal Khairul Abd. Kadir di talian 019-2769 117 atau Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul di talian 03-4048 2233 bagi membantu siasatan. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN