Batal lesen jika jual arak haram - Utusan Malaysia

Batal lesen jika jual arak haram

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM – Kerajaan Negeri tidak akan teragak-agak membatalkan lesen perniagaan serta mengarahkan penutupan mana-mana premis yang didapati menjual minuman keras secara haram.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baru negeri, Ng Sze Han berkata, pihaknya telah mengarahkan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di seluruh Selangor untuk mempergiat lagi operasi pemeriksaan terhadap premis perniagaan yang menjual minuman keras terutama di kawasan tumpuan warga asing.

“Usaha pemeriksaan ini sememangnya selalu diadakan tetapi berikutan kejadian keracunan alkohol kerana meminum arak haram baru-baru ini, saya mengarahkan semua PBT untuk menjalankan pemeriksaan dengan lebih kerap lagi.

“Kami tidak akan teragak-agak untuk membatalkan lesen dan mengarah tutup mana-mana premis perniagaan seperti kedai runcit dan kedai serbaneka 24 jam yang didapati menjual arak haram kepada pengguna,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Menurut Sze Han lagi, satu perjumpaan dengan Yang Dipertua kesemua 12 PBT di Selangor diadakan bagi membincang hal berkenaan dan mereka memberi komitmen sepenuhnya untuk membanteras penjualan arak haram di kawasan masing-masing. – Bernama

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN