NEW YORK 28 Sept. – Presiden Palestin, Mahmoud Abbas mendesak Amerika Syarikat (AS) menarik balik pengiktirafan Baitulmuqaddis sebagai ibu negara Israel dan menyelar tindakan negara itu yang memotong bantuan kepada penduduk Palestin.
Mahmoud menyifatkan kesemua tindakan tersebut sebagai memperlekehkan usaha damai antara Palestin dengan Israel, selain Baitulmuqaddis bukan ‘untuk dijual’.
“Saya mendesak agar Presiden AS, Donald Trump menarik balik pengiktirafan terhadap Baitulmuqaddis dan meneliti semula keputusan mengenai bantuan kepada pelarian dan penduduk Palestin,” katanya ketika berucap dalam Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), di sini semalam.
Rundingan damai terakhir antara Israel dan Palestin dilakukan pada 2014, selain timbul ketidakpastian mengenai rancangan Trump untuk menjadi orang tengah dalam menyelesaikan konflik tersebut, terutamanya selepas beliau mengiktiraf Baitulmuqaddis sebagai ibu negara Israel pada hujung tahun lalu.
Selain itu, Mahmoud juga menyifatkan keputusan AS untuk menjadi satu-satunya orang tengah dalam menyelesaikan konflik Israel dan Palestin sebagai tidak wajar dan mustahil.
Hal ini kerana beliau menyatakan Trump bersikap berat sebelah terhadap Palestin sejak mula menjawat jawatan sebagai Presiden AS pada Januari tahun lalu, selain menegaskan bahawa beliau tidak menolak rundingan damai dan sentiasa bersedia berbincang mengenai masa depan Palestin.
Dalam perkembangan berkaitan, Agensi Kerja dan Bantuan Untuk Pelarian Palestin Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNRWA) menerima bantuan dana berjumlah AS$118 juta (RM488 juta), sekali gus dapat mengecilkan jurang kekurangan bantuan sehingga AS$68 juta (RM281 juta) pada tahun ini.
Pesuruhjaya Tinggi UNRWA, Pierre Krahenbuhl memaklumkan bahawa sumbangan itu diperoleh selepas beberapa negara membuat permohonan untuk mendapatkan bantuan ketika perhimpunan pemimpin dunia di PBB baru-baru ini.
Antara negara yang membuat permohonan bantuan tersebut termasuk Jerman, Kesatuan Eropah, Kuwait, Ireland dan Norway.
UNRWA memberi bantuan serta perkhidmatan kepada kira-kira lima juta pelarian Palestin di Jordan, Lebanon, Syria, Tebing Barat dan Semenanjung Gaza. – AGENSI











