KUALA LUMPUR – Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim memohon maaf kerana beberapa janji dalam manifesto Pakatan Harapan (PH) terpaksa ditangguhkan buat masa ini sehingga kewangan negara kembali kukuh.
Katanya, semasa manifesto berkenaan dibuat, PH tidak menjangkakan hutang negara mencecah sehingga RM1 trilion.
“Sekarang ini bila lihat, kenyataan dia berbeza, oleh demikian itu, saya minta maaf kerana ada manifesto yang kita boleh lakukan dan ada yang lain kita kena tangguhkan,” katanya pada sesi soal jawab program ‘Meet Anwar’ anjuran Anwar Ibrahim Club di sini hari ini.
Antara lain, katanya, faktor hutang ini disumbangkan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang mempunyai hutang berpuluh bilion ringgit berbanding jangkaan awal di bawah RM3 bilion.
“Kita baru fikir bawah RM3 bilion, kita tak terfikir ada beli kapal, beli painting dan ada duit beri kepada (pelakon Hollywood) Leonardo DiCaprio. Besar masalah dia, jadi Tun Dr. Mahathir (Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad) kata berilah masa.
“Apa yang kami ada kami akan tawarkan terdapat masalah, bolehkah anda dapatkan semula semua dana itu? Kapal terbang beli baru (contoh) RM250 million, kalau yang terpakai, nilai (sebenarnya) tak boleh dapat balik, kapal laut lagi teruk, nilai bagi yang terpakai sangat rendah, jadi kita dah rugi banyak,” katanya.
Sementara itu, Anwar sekali lagi menegaskan bahawa beliau memberi sokongan 100 peratus kepada pentadbiran kerajaan di bawah Dr. Mahathir dan menyeru rakyat untuk memberi peluang kepada Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia itu untuk memerintah negara. – Bernama









