KUALA LUMPUR 28 Sept. – Mendapat bayaran RM300,000 sebulan daripada 15 sindiket pemerdagangan manusia dan menunjukkan gaya hidup mewah dalam laman sosial.
Itu tindakan enam pegawai imigresen berpangkat KP19 dan KP22 apabila menyeludup masuk 200 warga asing setiap bulan melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Sepang dekat sini.
Menurut sumber, modus operandi dilakukan iaitu sindiket mengenakan bayaran RM600 hingga RM6,000 bagi melepaskan setiap individu yang disenarai hitam atau tidak cukup syarat untuk masuk atau keluar ke negara ini.
Tambahnya, antara warga asing yang diseludup adalah dari China, Vietnam, Bangladesh, Pakistan, Myanmar, Indonesia, Nigeria, Nepal, Iran dan Uzbekistan.
“Caj paling tinggi dikenakan adalah kepada warga Bangladesh mengikut status perjalanan mereka. Sindiket kenakan RM4,000 bagi mempunyai dokumen sah, RM6,000 sekiranya dihalang masuk ke negara ini dan RM5,000 jika dokumen perjalanan palsu,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Tambah sumber lagi, bagi melicinkan operasi membantu warga asing terdiri daripada penjenayah, pelacur mahupun pengganas lolos ke negara ini, mereka menghubungi ejen penghubung kepada ketua sindiket.
“Ejen warga tempatan itu mempunyai salinan jadual waktu kerja pegawai imigresen termasuk ketua sindiket tersebut. Jadi, ejen akan mengarahkan semua warga asing yang mahu masuk atau keluar untuk membeli tiket penerbangan masing-masing pada hari pegawai imigresen terbabit bertugas.
“Individu yang disenarai hitam kemudian diminta memberikan nama, nombor pasport, nombor penerbangan dan tarikh serta masa ketibaannya. Manakala, pegawai imigresen akan memberikan ejen nombor kaunter yang diperlukan (migran) untuk mendapatkan laluan selamat ke dalam negara,” katanya.
Selain itu, katanya, sindiket diketuai pegawai imigresen terbabit turut membantu menyeludup masuk atau keluar rakyat Malaysia yang disenarai hitam termasuk peminjam pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) atau penjenayah.
Jelasnya, ada segelintir pegawai terbabit mampu hidup mewah apabila menerima rasuah RM275,000 dalam tempoh dua hari.
“Hasil sogokan itu, seorang pegawai berpangkat KP19 dikesan membelanjakannya dengan melancong ke Eropah dan berbelanja barangan mewah sebagaimana dipaparkan dalam laman sosial Facebook suspek dan isteri,” katanya.











