PADANG BESAR – Seorang wanita hamil sembilan bulan, suami dan seorang anggota polis terbunuh dalam kemalangan membabitkan dua buah kenderaan di Kilometer 17.5, Jalan Kangar-Padang Besar di sini malam kelmarin.
Turut terkorban pada hari yang sama ialah seorang remaja lelaki, Muhammad Kamal Haikal Roslan, 15, apabila motosikal yang ditunggangnya merempuh sebatang pokok di Jalan Tandop Kampung Baru, Tok Kuning di Kangar pada pukul 11.45 malam.
Remaja berkenaan mati akibat kecederaan serius di kepala.
Bagi kemalangan di Jalan Kangar-Padang Besar pula, kejadian melibatkan kenderaan utiliti sukan (SUV) Nissan Murano dan sebuah Perodua Viva pada pukul 9.30 malam itu berlaku ketika negeri tersebut dilanda hujan lebat dan angin kencang.
Tiga mangsa yang terbunuh ialah pemandu kereta Perodua Viva, Konstabel Muhammad Amirul Naim Aziz, 24, dan suami isteri pemandu Nissan Murano, Mohd. Hafiz Johari, 28, dan Siti Asmah Abdul Khalid, 27. Siti Asmah tidak bekerja dan dijadual bersalin anak keduanya semalam.











