CHANGZHOU 28 Sept. – Kakitangan perubatan di Hospital Kanak-kanak Changzhou berhempas pulas selama lebih lima jam untuk menyelamatkan seorang kanak-kanak lelaki berusia lapan tahun selepas jantungnya tiba-tiba terhenti.
Lapor Channel News Asia memetik kenyataan dikeluarkan oleh pihak hospital sebagai berkata, kanak-kanak berkenaan, Xiao Yu, dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) pada 20 September lalu selepas disahkan mengalami miokarditis fulminan iaitu radang tisu otot jantung.
Keadaan Yu bertambah baik selepas dirawat tetapi kesihatannya tiba-tiba merosot pada keesokan pagi dan denyutan jantungnya terhenti.
Doktor memutuskan Yu memerlukan rawatan pengoksigenan membran ekstrakorporeal (ECMO).
Rawatan itu memerlukan peralatan bantuan hayat khas dari sebuah hospital di Shanghai yang akan membantu mengoksigenkan darah pesakit.
Ketika kanak-kanak berkenaan menunggu pasukan perubatan dari Shanghai tiba di situ, tekanan darahnya turun, jantungnya berhenti berdenyut dan dia berhenti bernafas.
Kakitangan hospital segera bertindak dan mereka secara bergilir-gilir tanpa henti melakukan bantuan pernafasan atau cardiopulmonary resuscitation (CPR) untuk menyelamatkan nyawa kanak-kanak itu.
Seramai 30 kakitangan bergilir-gilir melakukan CPR selama dua minit setiap seorang untuk lebih daripada lima jam sehingga pasukan perubatan dari Shanghai tiba.
Keesokan harinya, bapa Yu menghantar mesej kepada rakan-rakannya dan meminta mereka menghantar mesej berkenaan kepada kakitangan hospital terbabit.
Ditulis oleh Yu, mesej itu mengandungi ucapan terima kasih kepada kakitangan hospital tersebut atas usaha mereka.
“Terima kasih atas sokongan anda. Saya ingin kembali dan berterima kasih kepada semua yang membantu saya,” katanya dalam mesej berkenaan.











