18 STOLport dikaji semula - Utusan Malaysia

18 STOLport dikaji semula

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Malaysia Airport Holdings Bhd. (MAHB) bercadang untuk mengkaji semula kekerapan penerbangan di 18 terminal padang terbang pelepasan dan pendaratan singkat (STOLport) miliknya.

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Malaysia Aiports, Raja Azmi Raja Nazuddin berkata, kajian tersebut bakal melibatkan STOLport yang terletak di kawasan pedalaman di Sabah, Sarawak dan tiga buah pulau di Semenanjung Malaysia.

Menurutnya, tiga pulau ber­kenaan terdiri daripada Pangkor, Redang dan Tioman.

“Kajian ini akan melibatkan cadangan untuk mengurang atau menambah kekerapan pe­nerbangan di beberapa kawasan, bergantung kepada permintaan tinggi daripada pelanggan.

“Namun, ia kini masih dalam peringkat perbincangan dan kami perlu mendapatkan persetujuan daripada Kementerian Pengangkutan, kerajaan negeri serta Suruhanjaya Penerbangan Malaysia sebelum dilaksanakan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis pe­rasmian terminal STOLport Ba­rio, Sarawak di sini baru-baru ini.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif MasWings, Aminuddin Zakaria.

Terminal STOLport Bario baharu itu menjalani proses naik taraf dengan menelan kos seba­nyak RM300,000.

STOLport Bario telah beroperasi selama 22 tahun sejak 1996 dan dengan penaiktarafan bangunan terminal itu ia sekali gus mampu meningkatkan pe­ngendalian pesawat daripada 21 kepada 28 pesawat seminggu.

Selain itu, STOLport Bario mencapai peningkatan seba­nyak 4.4 peratus berbanding STOLport lain dari jumlah penumpang, malah untuk rekod bagi tahun 2017 STOLport Bario menerima 25,100 penumpang berbanding tahun sebelumnya sebanyak 24,080 penumpang.

Tambah Raja Azmi, pihaknya tidak akan mengenakan cukai lapangan terbang kepada semua penumpang yang menaiki penerbangan di mana-mana STOLport.

“Kadar tiket penerbangan masih kekal dan kami tidak me­ngenakan sebarang cukai kerana STOLport masih kekal sebagai tanggungjawab sosial korporat MAHB,” ujarnya

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN