18 bulan jadi tebusan Abu Sayyaf - Utusan Malaysia

18 bulan jadi tebusan Abu Sayyaf

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOLO, Filipina – Tiga nelayan Indonesia yang diculik oleh kumpulan militan Abu Sayyaf dibebaskan selepas mereka dijadikan tebusan selama 18 bulan di selatan Filipina, kata pihak tentera semalam.

Ketiga-tiga lelaki itu diculik ­ketika menaiki sebuah bot laju di perairan pulau paling selatan Fi­lipina, Tawi-Tawi. Pulau itu dan kepulauan berdekatan, Sulu menjadi lokasi aktiviti militan Abu Sayyaf.

Seorang jurucakap tentera Fi­lipina berkata, semua rakyat Indonesia itu dibebaskan di bandar Indanan, Sulu kelmarin dan di­serahkan kepada pihak berkuasa susulan operasi intensif tentera terhadap Abu Sayyaf tetapi enggan mengulas lanjut.

Ditanya sama ada wang tebusan dibayar, jurucakap berkenaan, Leftenan Kolonel Gerry Besana memberitahu: “Tidak, sama sekali tiada wang tebusan yang dibayar. Mereka tertekan akibat operasi kami.”

Kumpulan Abu Sayyaf sebelum ini terkenal kerana memenggal kepala tebusan melainkan wang tebusan dibayar.

Tentera Filipina mengenal pasti ketiga-tiga warga Indonesia itu sebagai Hamdam Bin Salim, 34, Subande Satto (27) dan Sudarlan Samansung (41).

Ketiga-tiga tebusan itu dibawa ke sebuah hospital tentera sebelum diserahkan kepada Duta Indonesia yang mengiringi mereka ke Manila, demikian menurut kenya­taan tentera.

Abu Sayyaf ditubuhkan pada tahun 1990-an menggunakan wang milik rangkaian Al-Qaeda. Kumpulan itu mendapat wang tebusan berjuta-juta dolar dengan melakukan kegiatan merompak dan menculik dengan kebanyakan mangsa terdiri daripada warga asing.

Besana berkata lagi, kumpulan Abu Sayyaf masih menawan 11 tebusan termasuk seorang pemerhati burung dari Belanda yang diculik pada tahun 2012 dan seorang tebusan warga Vietnam. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN