KUALA LUMPUR – Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) menahan 16 individu positif dadah jenis methamphetamine dan MDMA dalam serbuan yang dilakukan di Jalan Sungai Besi dan Jalan Sultan Ismail menerusi Operasi Banteras Aktiviti Haram (Ops Bah) siri 47 awal pagi tadi.
Ops Bah siri 47 itu dilancarkan pada pukul 10.00 malam dengan kekuatan 379 anggota penguatkuasa dari pelbagai agensi kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
Menurut Pengarah Jabatan Penguatkuasaan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, Azman Mahmood berkata, siasatan lanjut di salah sebuah pusat hiburan yang diserbu mendapati kawasan tersebut memang terdapat masalah berkaitan dadah dan kita dapati ada serbuk dadah yang kita temui tadi.
“Pusat hiburan tersebut telah menjalankan perniagaan sejak 10 tahun yang lalu turut menawarkan pelbagai jenis perkhidmatan yang jelas menunjukkan melanggar Akta Hiburan (Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur) 1992.

“Sewaktu serbuan dilakukan premis itu menawarkan pelbagai perkhidmatan seperti khidmat urut, menjual minuman keras kepada orang Islam juga menjalankan aktiviti perjudian.
“Pusat hiburan tersebut juga telah beroperasi tanpa mempunyai permit yang sah kerana menggunakan lesen yang tamat tempoh,” katanya kepada pemberita selepas mengetuai operasi tersebut di sini hari ini.
Menurutnya, dalam operasi yang berakhir pukul 6.30 pagi itu, 31 orang telah ditahan oleh Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) di bawah Seksyen 19 Akta 559 Jenayah Syariah. – K! ONLINE












