KLANG 7 Ogos – Selepas sekian lama menjadi buah mulut di peringkat antarabangsa mahu pun tempatan, kapal mewah The Equanimity milik ahli perniagaan kontroversi, Low Taek Jho atau Jho Low dikembalikan kepada Malaysia apabila selamat berlabuh di Terminal Boustead Cruise Center, Pelabuhan Klang di sini hari ini.
Kapal dikaitkan dengan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) itu berlepas dari perairan Batam, Indonesia, pada pukul 4.45 petang semalam, dengan diiringi kapal perang kelas frigat, KD Jebat, milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan tiga buah kapal ronda Polis Marin bagi tujuan keselamatan dan tiba 1 petang ini.
Difahamkan terdapat usaha daripada pihak Jho Low untuk menggagalkan kapal itu dibawa pulang ke Malaysia melalui saluran undang-undang, selepas berita mengenai persetujuan antara Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Presiden Indonesia, Joko Widodo (Jokowi) mengenai The Equanimity dilaporkan media.
Sebaik sahaja berlabuh, kapal sepanjang 91 meter itu terus diperiksa seramai 17 pegawai pasukan khas gabungan Jabatan Peguam Negara, Mahkamah Tinggi, kastam serta imigresen yang mengambil masa lebih daripada dua jam, sebelum dilihat keluar bersama kapten kapal, Oystein Senneseth, warga Norway bersama krewnya.
Semasa pemeriksaan, proses penyerahan waran rampasan kapal juga dibuat oleh pasukan khas dan sehingga kini belum dapat dipastikan berapa lama The Equanimity akan ditempatkan di terminal berkenaan.
Petugas media dan anggota keselamatan mula berkumpul di Terminal Boustead Cruise Center sejak pukul 10 pagi sebelum dibenarkan masuk ke jeti untuk merakam ketibaan kapal itu dari jarak kira-kira 100 meter.
Kapal itu sebelum ini ditahan pihak berkuasa Indonesia di Bali pada 28 Februari lalu ekoran siasatan yang dilakukan Jabatan Keadilan (DoJ) Amerika Syarikat.
Kerajaan Indonesia kemudian menyerahkan kapal berkenaan kepada Malaysia atas permintaan Dr. Mahathir semasa kunjungannya ke negara berkenaan Jun lalu.










