SUBANG JAYA 7 Ogos – Masalah pengurusan sampah dan sisa pepejal di negara ini bukan lagi perkara baharu bahkan isu yang sama berlaku hampir di semua negeri terutama di kawasan berkepadatan tinggi.
Lokasi seperti pasar basah, gerai makanan dan tapak pasar malam merupakan antara tempat yang kerap menjadi mangsa aktiviti pembuangan sampah yang jika tidak diurus dengan baik boleh mengundang pelbagai masalah.
Utusan Malaysia baru-baru ini meninjau kawasan berhampiran tapak gerai makanan atau foodcourt di Taman Sri Serdang, Selangor yang menjadi mangsa sikap tidak bertanggungjawab orang ramai yang membuang sampah di tempat tidak sepatutnya.
Masalah yang berlarutan sejak sekian lama itu menyebabkan kawasan kaki lima jalan itu berubah menjadi seperti tapak pelupusan sampah yang mengundang pembiakan serangga dan tikus.
Selain timbunan sampah sarap yang mencacatkan pandangan, keadaan itu juga menyebabkan kawasan sekitar diselubungi bau busuk.
Masalah menjadi semakin rumit ketika hari hujan, apabila sampah sarap dihanyutkan ke dalam saliran pembentungan dan menyebabkan longkang tersumbat.
Walaupun kerja-kerja pembersihan dilakukan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT), kaedah pengurusan sampah yang sedia ada dilihat tidak lagi mampu menampung peningkatan jumlah sampah yang dihasilkan setiap hari.
Keadaan itu terbukti apabila beberapa buah tong sampah yang disediakan dipenuhi sampah sehingga dilonggok di kaki lima jalan.
Sehubungan itu, orang ramai, pemilik premis perniagaan dan para peniaga di gerai makanan di Taman Sri Serdang mahu Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) mencari mekanisme yang lebih berkesan dalam menguruskan masalah lambakan sampah di kawasan berkenaan.










