SAUDARA PENGARANG,
SAYA selaku generasi kelima pembaca setia akhbar Utusan sangat terkilan melihat layanan kerajaan baharu Pakatan Harapan (PH) khususnya jemaah Kabinet terhadap akhbar keramat Melayu ini semata-mata atas ideologi politik.
Lebih memilukan bila ada bekas kakitangan sendiri menikam belakang ketika Utusan bagai jatuh ditimpa tangga. Mungkin disebabkan dendam kesumat susulan cara beliau ‘dijatuhkan daripada takhta’ dahulu.
Beliau seolah-olah tidak sedar dalam kalangan warga kerja Utusan juga ada penyokong PH. Mereka bersikap profesional sekalipun bekerja untuk pesaing PH tetapi mereka tidak sangka kerajaan baharu dan orang kuat PH pula tabur pasir dalam periuk nasi warga Utusan.
Namun, saya percaya Utusan dan warga kerjanya mampu bertahan berdepan gelora besar ini, mewarisi semarak api perjuangan daripada pelopor dan pejuang dari era penjajah, kemerdekaan, komunis, pergolakan kaum, pentadbiran ‘diktator’ dan kini peralihan kepada kerajaan baharu.
Biarlah ahli politik dan wakil rakyat yang sedang dalam mood berbulan madu dengan sikap kebudak-budakan mereka. Melupakan nasib rakyat dan semua janji, boleh pula marah dan sentap bila ditegur Utusan.
Bagaimanapun, Utusan yang cuba disekat kini semakin banyak pembaca khususnya dalam kalangan penyokong PH sendiri. Atas dasar ingin tahu atau perubahan penulisan Utusan, jumlah pembaca baharu ini diharap dapat menampung langganan yang dihentikan kerajaan baharu.
Suka saya mencadangkan agar Utusan kembali fokus kepada perjuangan Melayu, bumiputera dan Islam berbanding perjuangan kepartian. Walaupun sumber pendapatan daripada pengiklan Cina sukar diperolehi, kejar iklan daripada ribuan usahawan muda Melayu, walau sekecil mana sekalipun.
Dengan bantuan usahawan Melayu, Utusan juga mendapat talian hayat kelangsungan operasinya sekalipun tiada bantuan daripada kerajaan baharu PH mahupun pemegang saham. Apa juga yang berlaku, jangan sampai hilang nama Utusan di bumi bertuah Tanah Melayu. Itu satu pengkhianatan paling besar kepada bangsa dan negara kerana Utusan turut berperanan dalam perjuangan menuntut kemerdekaan.
Utusan juga mendahului penubuhan UMNO, pembentukan Malaysia dan satu-satunya wadah yang dimulakan dari bawah oleh nenek moyang Melayu sendiri daripada titik peluh dan apa jua harta di tangan mereka.
PEMBACA SETIA
Kuala Lumpur











