Pemimpin PKR perlu dengar suara akar umbi - Utusan Malaysia

Pemimpin PKR perlu dengar suara akar umbi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU 1 Ogos – Kepemimpinan PKR di peringkat pusat diharap mengambil serius suara sebahagian daripada akar umbi yang mendesak jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tidak dipertandingkan dalam pemilihan parti itu bulan depan.

Pengerusi PKR Kelantan, Ab. Aziz Ab. Kadir berkata, cadangan itu disuarakan kerana mereka khuatir pertandingan tersebut bakal menggugat keharmonian, sekali gus membawa kepada keretakan dalaman yang merugikan parti.

Tegas beliau, keretakan dalaman tersebut tidak boleh sekali-kali dibiarkan berlaku, lebih-lebih lagi terhadap PKR yang merupakan parti dominan dalam Pakatan Harapan (PH).

“Hari ini 10 daripada 14 ketua cabang negeri ini menyatakan pendirian kami sekali lagi bahawa Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak dicabar sesiapa bagi jawatan Presiden manakala jawatan Timbalan Presiden tidak perlu dipertandingkan. 

“Baki empat lagi ketua cabang setakat ini belum menyatakan pendirian namun saya yakin mereka juga bersama kami,” katanya dalam sidang akhbar, di sini hari ini.

Sementara itu, Ketua Cabang PKR Pasir Puteh, Ismail Muhammad berkata, Anwar sebagai Presiden dan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sebagai Timbalan Presiden merupakan gandingan terbaik bagi memantapkan parti.

“Keharmonian dalam parti adalah keutamaan kita semua. Saya takut kalau ada pertandingan bagi dua jawatan tertinggi ini, kemungkinan besar akan berlaku sesuatu (perkara buruk).

“Saya harap negeri lain juga mengikut jejak langkah kami untuk menyuarakan dengan tegas bahawa kita tidak mahukan pertandingan ini berlaku,” katanya.

Sebelum ini PKR Kelantan dan Terengganu mencadangkan jawatan Timbalan Presiden parti itu tidak dipertandingkan manakala keputusan Anwar yang mahu bertanding jawatan Presiden tidak perlu dicabar mana-mana pemimpin lain.

Bagaimanapun timbul desas-desus kononnya Mohamed Azmin akan bertanding jawatan Presiden menentang Anwar pada saat-saat akhir sebelum tarikh tutup pencalonan pemilihan, Ahad ini.

Sementara itu, Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli pula dikatakan telah mencalonkan diri bertanding merebut jawatan Timbalan Presiden. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN