MELAKA 7 Ogos – Jalan ini bukanlah jalan utama namun ia menjadi antara laluan alternatif bagi pengguna untuk menjimatkan masa perjalanan terutamanya dari Lebuh Ayer Keroh ke Kampung Tun Razak.
Kekerapan kenderaan yang melalui jalan ini setiap hari adalah tinggi dan digunakan oleh pelbagai jenis kenderaan termasuk lori yang membawa muatan mencecah 24 tan.
Kegagalan pihak bertanggungjawab memantau dan mengambil tindakan terhadap pemandu menyebabkan kualiti jalan di situ semakin terjejas .
Hasil pemeriksaan status daripada Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MBHTJ), jalan tersebut masih di bawah tanggungjawab pihak pemaju projek berhampiran dan bukan seliaan pihak berkuasa tempatan (PBT) ataupun Jabatan Kerja Raya (JKR) negeri.
Disebabkan itu, pihaknya tidak bertanggungjawab untuk melakukan kerja-kerja penyelenggaraan termasuk menampal jalan berlubang.
Sikap tidak ambil peduli pemaju projek berhampiran menyebabkan keadaan Jalan Kilang itu semakin tenat boleh mengundang risiko kepada pengguna.
Ini terutamanya kepada penunggang motosikal.
Sehubungan itu, pihak berkuasa diharap dapat memantau atau mengarahkan pemaju mengambil tanggungjawab membaiki kerosakan jalan tersebut bagi mengelak sebarang perkara tidak diingini berlaku.
Sekiranya jalan tersebut tidak sesuai untuk digunakan kenderaan, maka ia perlu ditutup dan laluan baharu yang lebih baik perlu dibuka bagi keselesaan dan keselamatan pengguna.











