DUNGUN 12 Ogos – Tanda tanya tentang satu kawasan yang seakan baharu ditimbus dalam hutan kecil mendorong seorang pemuda untuk menggalinya pagi ini, dan jawapan yang ditemukannya ialah mayat seorang bayi lelaki.
Mayat bayi malang itu ditemukan oleh Jafmi Mohd, 32, kira-kira pukul 7.30 pagi yang secara kebetulan melalui kawasan itu untuk memasuki gudang milik kakaknya di kawasan perindustrian Santong, dekat sini kerana pintu hadapannya berkunci.
“Saya pelik tengok ada beg sukan berwarna biru berhampiran timbunan tanah di situ yang seakan baharu digali dan ditanam benda di dalamnya, lalu saya masuk ke dalam gudang untuk ambil cangkul.
“Selepas menggali sedalam satu kaki, saya lihat satu balutan kain putih dan plastik berwarna biru. Apabila diangkat, ternampak sepasang kaki dan jari tangan terkeluar daripada bungkusan itu.
“Ini sangat mengejutkan saya, dan kemudian saya hubungi polis. Saya tidak sangka ada orang tergamak berbuat demikian,” katanya ketika ditemui, di sini hari ini.
Jafmi berkata, dia datang ke gudang milik kakaknya untuk membuat pemeriksaan keadaan premis itu kerana tiada pengawal keselamatan ditempatkan di situ.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Superintendan Baharudin Abdullah ketika dihubungi mengesahkan kejadian, dan siasatan lanjut dijalankan bagi memastikan sama ada bayi itu ditanam dalam keadaan masih hidup atau sudah mati.
“Berdasarkan kepada keadaan bayi yang cukup sifatnya, kita percaya dia yang dilahirkan cukup bulan (sembilan bulan) sudah meninggal dunia melebihi 24 jam, dan telah meminta semua klinik serta pusat kesihatan di daerah ini untuk membantu mengesan suspek,” katanya.
Menurut Baharudin, kes disiasat di bawah Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran dan mayat bayi tersebut kemudiannya dibawa ke Unit Forensik Hospital Daerah untuk tindakan selanjutnya. – UTUSAN ONLINE










