MAIS cadang naikkan usia minimum 16 kepada 18 tahun untuk pasangan bernikah - Utusan Malaysia

MAIS cadang naikkan usia minimum 16 kepada 18 tahun untuk pasangan bernikah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM – Majlis Agama Islam Selangor (Mais) mencadangkan pindaan had umur minimum perkahwinan bagi wanita adalah 18 tahun berbanding 16 tahun.

Menurut Pengerusi MAIS, Datuk Mohammed Khusrin Munawi, cadangan tersebut dibuat setelah perbincangan diadakan oleh pihak MAIS bersama Jabatan Kehakiman Syariah Selangor (JAKESS) dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) pada 19 hingga 20 Julai lalu. 

“Menjunjung titah Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor berhubung isu perkahwinan antara lelaki berusia 41 tahun dan kanak-kanak berusia 11 tahun baru-baru ini di Selatan Thailand, pihak MAIS telah mengadakan pertemuan dengan beberapa pihak. 

Memuatkan artikel berkaitan…

“Pihak MAIS, JAKESS, JAIS dan wakil jabatan Kerajaan termasuk pakar perubatan, universiti dan badan bukan Kerajaan (NGO) telah bertemu untuk berbincang mengenai isu tersebut secara mendalam,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini. 

Mohammed Khusrin berkata, hasil perbincangan tersebut kesemua pihak bersetuju untuk meminda Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003 yang melibatkan had umur minimum bagi perkahwinan di bawah umur bagi lelaki dan wanita Islam.

Katanya, cadangan kepada pindaan Enakmen tersebut akan dibawa kepada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor secepat mungkin. 

“Selaras pindaan tersebut, kelulusan untuk perkahwinan di bawah umur akan diperketatkan oleh Hakim Mahkamah Syariah bagi mengelakkan kemudaratan kepada kanak-kanak tersebut.

 “Antaranya kanak-kanak tersebut dikehendaki mengikut Kursus Kekeluargaan Khas dan mengikuti kursus kaunseling oleh pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) selain menjalani pemeriksaan perubatan oleh Pegawai Perubatan Hospital Kerajaan. 

“Hakim juga diminta menyiasat kedudukan kewangan bakal suami, rekod jenayah lampau sekiranya ada. Bakal suami, bakal isteri, bakal ibubapa mertua turut boleh dipanggil untuk diambil keterangan mereka sebelum sesuatu permohonan dipertimbangkan,” katanya. 

Beliau menambah, prosedur tambahan lain juga perlu dipenuhi bagi memastikan permohonan untuk perkahwinan bawah umur menjamin masa depan pasangan terbabit. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×