SUNGAI BULOH – Polis berjaya memberkas lima lelaki warga tempatan yang terlibat dalam kes samun di sebuah premis menjual telefon bimbit di Kampung Baru Subang di sini pada 8 Julai lalu.
Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan S. Somu berkata, dalam kejadian pada pukul 5.30 petang itu, mangsa yang juga pemilik premis serta dua pekerjanya didatangi lima lelaki bersenjatakan parang.
“Kesemua suspek bertindak menyerang mangsa dan merampas wang tunai bernilai RM7,500, sebuah kunci kereta milik mangsa dan kunci pejabatnya.
“Salah seorang pekerja cedera di tangan kiri dan kanannya akibat kesan tetakan semasa bergelut dengan suspek,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Sungai Buloh di sini hari ini.
Somu menambah, berdasarkan hasil siasatan, polis berjaya memberkas lima lelaki warga tempatan yang dipercayai terlibat dengan kes berkenaan pada 1 Ogos lalu.
“Seorang daripadanya diberkas di Jalan Welfare di sini, tiga orang di Desa Aman di sini dan seorang lagi di Shah Alam, Selangor.
“Polis juga telah merampas 10 bilah parang yang dimiliki oleh semua suspek di Desa Aman dan Kampung Baru di sini yang berukuran antara 16 hingga 29 inci,” ujarnya.
Kesemua suspek kini direman sehingga hari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan kerana samun sehingga mendatangkan kecederaan. – K! ONLINE










