Polis bongkar kegiatan eksploitasi manusia, tumpaskan sindiket penipuan

Polis bongkar kegiatan eksploitasi manusia, tumpaskan sindiket penipuan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN : Polis Pulau Pinang berjaya membongkar satu kegiatan mengeksploitasi manusia selain menumpaskan satu sindiket penipuan pekerjaan dan pelaburan tidak wujud menerusi beberapa serbuan berasingan di daerah Seberang Perai Tengah (SPT) dan Timur Laut, semalam.

Ketua Polis negeri, Datuk Dennis Lim Kwang Keng berkata, dalam operasi itu, seramai 109 individu termasuk seorang lelaki warga Taiwan yang dipercayai bertindak sebagai majikan dan pengendali kegiatan eksploitasi manusia itu turut ditahan bagi membantu siasatan.

“Serbuan pertama dilakukan di sebuah premis di Jalan Utara Berapit, Bukit Mertajam kira-kira pukul 7 malam susulan laporan yang diterima daripada seorang wakil komuniti Cameroon di Malaysia mengenai seorang wanita warga negara itu yang dipercayai telah dikurung serta dieksploitasi.

“Hasil serbuan, polis berjaya menyelamatkan mangsa selain menahan seorang lelaki warga Taiwan bersama 28 lagi warga asing.
Siasatan awal mendapati, mangsa dipercayai dibawa dari Kemboja ke Malaysia melalui laluan tidak sah selepas bekerja dengan sindiket berkenaan selama hampir setahun,” katanya di sini, hari ini.

Beliau berkata, mangsa diselamatkan di bawah Seksyen 44 ATIPSOM 2007 manakala suspek warga Taiwan dan 28 warga asing itu pula masing-masing ditahan mengikut Seksyen 12 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

Sementara itu, dalam operasi berasingan, katanya, polis turut menyerbu empat buah premis yang dijadikan pusat panggilan penipuan pelaburan tidak wujud di Taman Pantai Batu, Villa Moonlight Bay, Taman Bukit Dumbar, dan Jalan Sungai Kelian di Timur Laut.

Dennis berkata, serbuan itu seterusnya membawa kepada penahanan 80 individu yang terdiri daripada seorang lelaki tempatan dan 79 warga asing dari China, Vietnam serta Kemboja yang dipercayai terlibat dengan kegiatan berkenaan.

“Siasatan mendapati, semua premis tersebut telah beroperasi lebih sebulan dan dijadikan tempat tinggal pekerja sindiket yang direkrut melalui platform dalam talian atau ejen sebelum ditawarkan pekerjaan sebagai pegawai khidmat pelanggan dengan gaji antara RM3,200 hingga RM5,000 sebulan.

“Kes itu kini disiasat mengikut Seksyen 420 dan Seksyen 120B Kanun Keseksaan, Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 serta Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN