GEORGE TOWN : Operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang lelaki yang dilaporkan hilang di kawasan Jabatan Pertanian, Lebuh Bukit Jambul di sini pagi tadi telah ditamatkan kira-kira pukul 12 tengah hari tanpa sebarang petunjuk baharu.
Ketua Polis Daerah Barat Daya, Asisten Komisioner Anuwal Ab. Wahab berkata, operasi yang dijalankan bersama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang itu melibatkan pencarian dalam radius kira-kira dua kilometer (km) di kawasan berbukit yang mempunyai kebun serta laluan penyelenggaraan.
“Operasi melibatkan seramai 25 anggota polis dan 15 anggota JBPM Daerah Barat Daya. Pasukan turut menjalankan pemeriksaan di beberapa lokasi selain menemubual beberapa individu di sekitar kawasan bagi membantu siasatan.
“Sehingga operasi ditamatkan (pukul 12 tengah hari tadi), orang hilang tersebut masih belum ditemui dan tiada petunjuk baharu diperoleh,” katanya di sini, hari ini.
Tambah beliau, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kes itu bagaimanapun diminta untuk menghubungi Balai Polis Bayan Baru atau mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.
Difahamkan, operasi SAR itu tidak disambung buat masa ini sehingga pihak berkuasa menjumpai petunjuk baharu yang boleh membantu kerja-kerja pencarian.
Mangsa, Shahir Zainul, 45, sebelum ini dilaporkan hilang sejak 10 Jun lalu dengan kali terakhir dia dilihat keluar dari rumahnya di Persiaran Mayang Pasir 2, Bayan Baru di sini kira-kira pukul 5 pagi dengan menunggang motosikal.-UTUSAN










