Terlalu amat perih
sewaktu menyurihkan asasnya
dengan tertib berpahat tegak
dalam susila bertumang pasak
menyambat ikatan perabung budi
mengutuhkan susunan bumbung harmoni
setelah memarut segala tragedi
meluaskan sejarah berdaulat peribumi.
Berdekad kita menukangi struktur
dengan ramuan kayu terbaik
keras dan kuat jalinan tekstur
jati, cengal dan merbau
yang menunjang tiang seri
berimbang gelegar, rasuk dan jenang
tersergam kediaman idaman generasi.
Rumah ini milik kita bersama
peradaban yang meneduhkan watan
akrab menguasai dinding wawasan
pancang yang menegarkan pagar juang
ketuanan yang mengongsi ruang
daripada kersani maruah moyang terbilang.
Selamanya, lestari rumah merdeka
di bawah matahari sentosa
yang tidak melusuhkan pusaka
malah mempesona naungan cahaya
meskipun sesekali bahangnya berbeza.
ABD. RAHIM OMAR
Sungai Petani, Kedah.










