Potensi Ampangan jadi nadi ekonomi

Potensi Ampangan jadi nadi ekonomi

MUHAMMAD Nazri Kassim (kiri) bertemu dengan penduduk ketika kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan di Ampangan, baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUKADIMAH

BAKI seminggu tempoh berkempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan akan dimanfaatkan sebaiknya oleh Calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ampangan, DATUK MUHAMMAD NAZRI KASSIM.

Ditemui wartawan Utusan Malaysia, HASIF IDRIS, bekas Pengarah Yayasan Negeri Sembilan (YNS) itu berkongsikan hasrat mahu menjadikan Ampangan sebagai pusat pertumbuhan ekonomi selain usaha yang telah dilaksanakan kerajaan bagi mengatasi isu dihadapi rakyat khususnya masalah banjir.

UTUSAN: Bagaimana perjalanan kempen di Ampangan setakat ini?

MUHAMMAD NAZRI: Kami bermula kempen pada subuh sehinggalah selepas isyak, bertemu pengundi di surau-surau, masjid selain tempat-tempat perniagaan dan taman perumahan.

Penerimaan orang Ampangan adalah positif dibantu pengalaman PH mentadbir kerajaan Negeri Sembilan selama dua penggal. Prestasi kami sebagai satu pasukan diterima oleh rakyat.

Apa visi jika diberikan amanah sebagai ADUN Ampangan?

Saya mahu menjadikan Ampangan sebagai pusat pertumbuhan ekonomi Negeri Sembilan sekiranya diberi mandat oleh rakyat pada 1 Ogos nanti. 

Saya yakin perancangan yang tersusun mampu merancakkan ekonomi masyarakat setempat memandangkan kedudukan Ampangan yang strategik malah menjadi laluan antara Lembah Klang dengan pantai timur.

Potensi lain pada Ampangan?

DUN ini mempunyai potensi cukup besar untuk dibangunkan sebagai hab perniagaan, khususnya dalam sektor makanan, sumber makanan, pasar tani serta pusat jualan barangan keperluan harian dan pakaian.

Industri makanan juga sepatutnya dapat diterajui oleh peniaga-peniaga tempatan di DUN Ampangan kerana kedudukannya begitu strategik dan menjadi tumpuan orang ramai. 

Kedudukan Ampangan ini ditengah-tengah sepatutnya dimanfaatkan khususnya sebagai pusat perniagaan. Jika orang mahu mencari makanan yang sedap, mereka boleh dapatkan di Ampangan, itu antara program yang cuba kita bangunkan di sini jika diberi mandat.

Isu utama sering dibangkitkan penduduk Ampangan?

Isu banjir, kebersihan dan pengurusan sistem perparitan menjadi antara perkara utama yang dibangkitkan penduduk.

Ampangan merupakan kawasan lembah yang mempunyai tiga aliran sungai utama dan berdasarkan pengalaman lalu, kawasan ini sering berdepan risiko banjir yang menyebabkan kerosakan kepada harta benda.

Kerja-kerja penambahbaikan sistem perparitan dan sungai sedang berjalan dengan baik dan kita berhasrat meningkatkan usaha penyelenggaraan sungai dari semasa ke semasa. 

Ini kerana, sungai yang tidak diselenggara dengan baik boleh tersumbat akibat timbunan sampah, kayu dan pasir sehingga menjejaskan kelancaran ali­ran air.

Antara aduan lain yang di­terima adalah berkaitan kebersihan kawasan, pengurusan sampah serta masalah longkang yang menyebabkan air bertakung.

Apakah aspek yang perlu dipertingkatkan di Ampangan?

Sudah tentu aspek kebersihan, penyelenggaraan infra­struktur serta landskap perlu diberi perhatian dan dipertingkatkan. Ia mampu mewujudkan persekitaran yang lebih kondusif kepada peniaga dan pengunjung. 

Segala isu yang dihadapi bukanlah masalah besar namun memerlukan tindakan berterusan dan bersungguh-sungguh bagi memastikan kesejahteraan penduduk sentiasa terpelihara.

PROJEK tebatan banjir di Sungai Batang Penar antara usaha Kerajaan Negeri Sembilan bagi meningkatkan kapasiti aliran air sekali gus mengurangkan risiko kejadian banjir sekitar Ampangan.-UTUSAN/ISKANDAR ISHAK

 

Langkah kerajaan negeri bagi mengatasi isu banjir?

Langkah proaktif kerajaan Negeri Sembilan me­laksanakan projek penyelenggaraan ­jajaran sungai sejak 2022 memberi impak positif, apabila masalah banjir sekian lama membelenggu penduduk semakin terkawal.

Inisiatif yang dilaksanakan menerusi kerjasama Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) itu memberi tumpuan kepada kerja-kerja membersih, mendalamkan dan menyelenggara aliran air dari Sungai Batang Penar yang merentasi kawasan Ampangan sebelum bercantum dengan Sungai Linggi. 

Selain itu, pendekatan digunakan memberi nilai tambah apabila kontraktor dibenarkan mengeluarkan pasir dari sungai sebagai sumber hasil, sekali gus mengurangkan beban kewangan kerajaan negeri dalam melaksanakan kerja penyelenggaraan.

Pelaksanaan kerja penyelenggaraan itu dipertanggungjawabkan kepada YNS Management Sdn. Bhd. sebagai kontraktor utama dilantik kerajaan negeri.

Konsep ini memberi manfaat kepada semua pihak. Su­ngai dapat diselenggarakan dengan baik tanpa membebankan kerajaan negeri manakala hasil jualan pasir membantu menampung kos operasi.

Kejadian banjir yang dahulunya kerap berlaku terutama sekitar 2019 dan 2020 kini semakin berkurangan.

Faktor utama pencapaian kerajaan negeri merekodkan pelaburan diluluskan bernilai RM19.1 bilion tahun lalu, tertinggi dalam sejarah? 

Saya melihat kerajaan negeri bersungguh-sungguh dalam menyediakan infrastruktur dan ekosistem pembangunan yang kondusif untuk pelabur. 

Apa yang lebih penting, pelaksanaan projek dilakukan secara terancang melalui kerjasama erat antara kerajaan dan swasta. 

Semua proses diurus mengikut peraturan dan tadbir urus yang baik, sekali gus memberi keyakinan kepada pelabur.

Bagi saya, kejayaan ini didorong oleh beberapa faktor. Pertama ialah komitmen dan ketekunan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun serta seluruh pasukan pentadbiran kerajaan negeri yang bekerja keras meningkatkan daya saing negeri. 

Kedua ialah hubungan yang baik dengan pihak swasta, tanpa birokrasi dan sentiasa berlandaskan prosedur yang telus. Apabila pelabur berasa urusan mereka dipermudahkan mengikut proses yang betul, keyakinan mereka terhadap negeri terus meningkat.

Adakah hasilnya turut dikembalikan kepada rakyat?  

Hasilnya turut dikembalikan kepada rakyat menerusi pelbagai inisiatif kebajikan dan pendidikan, termasuk bantuan kepada pelajar cemerlang dari peringkat sekolah sehingga institusi pengajian tinggi. 

Sebagai bekas Pengarah Yayasan Negeri Sembilan, saya ingin maklumkan pendapatan tahunan yayasan telah meningkat dengan sangat ketara berbanding tahun 2016 dan 2017. 

Kini, Yayasan Negeri Sembilan berjaya menjana pendapatan melebihi RM50 juta setahun malah pada tahun-tahun tertentu mencecah lebih RM60 juta.

Peningkatan ini membolehkan Yayasan Negeri Sembilan memperluaskan lagi bantuan dan program pembangunan pendidikan untuk anak-anak Negeri Sembilan.

Kesan peningkatan pendapatan itu kepada perbelanjaan Yayasan Negeri Sembilan?

Peningkatan pendapatan membolehkan Yayasan Negeri Sembilan meningkatkan peruntukan untuk pendidikan dan kebajikan. Jika dahulu perbelanjaan sekitar RM5 juta hingga RM6 juta setahun, kini Yayasan Negeri Sembilan membelanjakan antara RM16 juta hingga RM18 juta setahun bagi pelbagai program pembangunan pendidikan dan kebajikan anak-anak Negeri Sembilan.

Antara inisiatif utama adalah bantuan sara hidup, bantuan komputer riba, insentif kepada graduan cemerlang serta pembiayaan pendidikan di Kolej Yayasan Negeri Sembilan melalui penukaran pinjaman kepada biasiswa.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN