KUALA LUMPUR 12 Ogos – Ibadah korban adalah masa yang tepat untuk setiap umat Islam di seluruh negara mengambil peluang dalam membantu insan-insan yang dalam kesusahan.
Sehubungan itu, Malaysian Relief Agency (MRA) menyeru umat Islam di negara ini untuk mengambil peluang tersebut dengan menyalurkan sumbangan sempena program Korban Terbaik MRA pada Hari Raya Aidiladha hadapan dalam membantu mereka yang memerlukan.
Pengurus Kanan MRA, Fauziah Tahar berkata, program ibadah itu adalah peluang kepada masyarakat menanamkan rasa kasih dan ihsan terhadap saudara mereka yang bukan sahaja tinggal di Malaysia, malah di negara-negara lain.
“Masih ramai individu yang dalam kesusahan seperti di Malaysia dan negara-negara lain seperti Somalia, Sri Lanka, Gaza, Bangladesh dan Filipina di mana tempat-tempat yang sedang menghadapi konflik.
“Jadi, pada mereka yang ingin melakukan ibadah korban, boleh mengambil peluang tersebut menerusi program ini dan dalam masa sama berkongsi nikmat bersama dengan mereka yang memerlukan,” katanya ketika dihubungi Utusan Online di sini hari ini.
Kempen Korban Terbaik yang telah dijalankan selama 10 tahun di 14 buah negara menerima lebih 35,000 penyumbang dari seluruh negara.
Terdapat lima pakej yang ditawarkan mengikut negara yang disumbangkan seperti Pakej A berharga RM350 (Arakan, Kemboja, Nepal dan Sri Lanka); Pakej B berharga RM600 (Bangladesh, Filipina dan Somalia); Pakej C berharga RM700 (Malaysia, Thailand dan Indonesia); Pakej D berharga RM900 (Yaman, Syria, Pakistan dan Afghanistan) serta Pakej E berharga RM1,700 (Gaza).
Umat Islam boleh membuat pembayaran tersebut menerusi akaun Maybank MRA bernombor 564098206365 dan menghubungi sekretriat di talian 03-91744672 atau 013-3371672 untuk keterangan lanjut. – UTUSAN ONLINE










