PUTRAJAYA 1 Ogos – Kursus yang dihadiri oleh hakim-hakim Mahkamah Sesyen dua bulan sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), bukan berunsur politik atau bertujuan mendoktrinkan pemikiran hakim-hakim.
Sebaliknya, Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan (PKPMP) menjelaskan, kursus itu merupakan kerja berkumpulan yang biasa dijalankan bertujuan meningkatkan semangat patriotisme dan menerapkan nilai murni dalam kalangan warga mahkamah.
Dalam kenyataannya hari ini, PKPMP berkata, kursus berkenaan yang dijalankan selama tiga hari bermula 16 hingga 18 Mac lalu di Akademi Kenegaraan, Jalan Bellamy di ibu negara telah dirancang lebih awal.
“Kursus itu adalah acara kebetulan sahaja diadakan sebelum pilihan raya, manakala modul yang disediakan adalah di bawah seliaan PKPMP yang menerapkan unsur kenegaraan, bukan politik,’’ ujar kenyataan itu.
PKPMP menyatakan demikian bagi mengulas kenyataan kumpulan peguam Lawyers for Liberty (LFL) pada 28 Julai lalu yang mempersoal objektif kursus BTN untuk pegawai mahkamah dan menyifatkan ia boleh mengancam kebebasan badan kehakiman.
Penasihat LFL, N. Surendran berkata, para hakim mesti bebas dan tidak berat sebelah bagi menegakkan kedaulatan undang-undang dan mengekalkan pemisahan kuasa.
PKPMP turut menjelaskan, kursus yang dinamakan Program Latihan Transformasi Negara itu merupakan salah satu daripada Kursus Pembangunan Kapasiti Pegawai Kehakiman diadakan dengan kerjasama Biro Tatanegara (BTN).
Menurut kenyataan itu, kursus tersebut bukan suatu amalan baharu kerana PKPMP turut mengadakan kursus dengan kerjasama agensi lain termasuk Institut Latihan Kehakiman dan Perundangan (ILKAP) dan Institut Tadbiran Awam Negara (Intan) bagi tujuan latihan.
PKPMP turut menjelaskan, kursus-kursus yang diadakan bukan sahaja melibatkan hakim Mahkamah Sesyen atau Majistret tetapi turut melibatkan kakitangan sokongan.
Tambah kenyataan itu, hakim Mahkamah Sesyen dan Majistret merupakan pegawai dalam perkhidmatan awam menurut Perkara 132(1)(b) Perlembagaan Persekutuan dan mereka adalah tertakluk kepada pekeliling perkhidmatan dan peraturan yang mengawal selia penjawat awam termasuk keperluan menghadiri sebarang latihan ataupun kursus.
PKPMP turut menjelaskan, kerjasama pihaknya dengan BTN dalam menganjurkan kursus berkenaan adalah bagi menjimatkan kos penganjuran.
Selepas siri pertama, kursus seterusnya telah diadakan pada 23 hingga 25 Mac lalu di Kem Bina Negara, Tanjung Rhu, Sepang dan 6 hingga 8 April lalu di Kem Bina Negara di Kulim, Kedah.
Jelas PKPMP, hanya tiga siri kursus yang sempat diadakan dan siri yang lain telah ditangguhkan oleh BTN selepas kerajaan baharu di bawah Pakatan Harapan mengumumkan untuk mengkaji semula kedudukan dan peranan BTN.











