SANGAT menghargai keindahan seni kraf tempatan, sehingga membuatkan beliau berasa kecewa apabila produk-produk tersebut semakin terpinggir seakan-akan tidak bernilai, sebaliknya orang luar pula yang menghargai hasil seni tersebut dan berbangga memilikinya.
Kekecewaan itu mendorong Datin Seri Norazlina Awang Had, 43, tampil dengan Lawabana, sebuah syarikat yang berusaha mempromosikan seni kraf tradisional bukan sahaja untuk dihargai masyarakat tempatan malah sehingga ke peringkat antarabangsa.
Dalam bahasa Bajau, Lawabana membawa maksud ‘sangat cantik’. Bersama pasukannya yang ditubuhkan sejak dua tahun lalu, ibu kepada tiga orang cahaya mata itu berusaha menjejaki pengusaha kraf di serata Borneo dengan tujuan membantu mereka memasarkan produk yang dihasilkan.
Memandangkan pada masa sekarang perniagaan secara dalam talian menjadi pilihan ramai, maka Norazlina memilih platform e-Dagang dikenali sebagai Roomaku.
Melalui platform tersebut, beliau memasarkan pelbagai produk seni kraf yang dihasilkan oleh artisan-artisan tempatan.
Dalam masa yang sama juga, ia juga dijadikan landasan kepada usahawan berkongsi pengalaman mengenai kraf dan budaya antara negeri dan negara.
Sejak diketengahkan dua tahun lalu, platform e-Dagang tersebut sudah memiliki 24 orang artisan dari Terengganu, Pahang, Kedah dan Sabah yang menawarkan produk kreatif seperti lukisan, anyaman bakul, batik, sulaman dan arca.
Ditemui pada majlis pelancaran koleksi Lawabana di sebuah hotel di Kuala Lumpur baru-baru ini, anak kepada tokoh ilmuwan terkenal, Allahyarham Tan Sri Prof. Emeritus Dr. Awang Had Salleh ini berkata, platform tersebut juga diharap mampu membantu memelihara seni dan kraf tradisional yang semakin kurang mendapat perhatian khususnya dalam kalangan generasi muda.
“Lawabana diwujudkan dengan satu aspirasi bahawa ia akan menjadi jambatan yang menghubungkan pengusaha kraf seni tradisional dengan pengguna.
“Saya dan rakan-rakan mahu usaha kami ini relevan bukan sahaja dalam kalangan masyarakat Malaysia, bahkan hingga ke sekurang-kurangnya Asia Tenggara.
“Dua tahun lalu, kami mulakan langkah pertama dengan mengenal pasti artis dan seni tradisional yang hampir pupus. Setelah itu, kami memulakan pengembaraan menerokai kawasan luar bandar dan hutan dara bagi membongkar serta mencari pengusaha kraf paling bagus di rantau ini yang belum pernah mendapat pendedahan luar.
“Kami melintasi sungai-sungai yang berbeza di Borneo hanya untuk sampai ke kawasan-kawasan terpencil bagi bertemu dengan pengusaha kraf tangan yang terhandal. Usaha ini cukup mencabar.
“Namun, apa sahaja cabaran yang dilalui tidak melunturkan semangat kami, sebaliknya memberi kepuasan kerana dapat mempamerkan hasil kraf tangan terbaik ke seluruh dunia,” katanya yang turut memperkenal C’hantoum, jenama pakaian dan aksesori untuk dewasa serta kanak-kanak.
Norazlina menambah, usaha tersebut juga diharap dapat meningkatkan kesedaran mengenai warisan budaya, selain memberitahu masyarakat bahawa sebenarnya masih ada lagi orang yang mengusahakannya dan perlu dipertahann demi manfaat generasi masa depan.
Baginya, produk kraf di negara ini tidak memperoleh kedudukan yang sepatutnya berbanding di Eropah, yang masyarakatnya lebih menghargai produk-produk artisan.
Misalnya, beg raga digayakan di mana-mana sahaja semasa musim panas dan ketika pergi bercuti. Mereka berbangga memilikinya kerana nilai kreatif beg raga tersebut.
Sementara itu, pada majlis yang sama turut diadakan sesi lelongan hasil seni 10 orang artisan Roomaku. Di antaranya ialah Wan Jamila Wan Shaiful Bahri, Mohd Ali Tusop, Khadijah Yong, Jason Chong dan Irliana Ibrahim yang menghasilkan beg bakul, bakul dua tingkat, lukisan, beg kepit (cluctch), selendang, arca naga dan sebagainya.
Hasil daripada lelongan tersebut, berjaya mengutip sebanyak RM25,975 yang akan disumbangkan kepada Pusat Kreatif Kanak-kanak Tuanku Bainun, sebuah organisasi yang memberi tumpuan kepada seni tradisional kepada generasi muda.










